Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembinaan stesen MRT King Albert Park, Clementi bagi CRL mula suku pertama 2024

Oct 2, 2023 | 6:34 PM
STESEN MRT KING ALBERT PARK: Lakaran artis bagi stesen MRT King Albert Park di Laluan Rentas Pulau (CRL). Ia terletak di sepanjang Blackmore Drive berdekatan Bukit Timah Road.
STESEN MRT KING ALBERT PARK: Lakaran artis bagi stesen MRT King Albert Park di Laluan Rentas Pulau (CRL). Ia terletak di sepanjang Blackmore Drive berdekatan Bukit Timah Road. - Foto LTA

Pembinaan stesen MRT King Albert Park dan Clementi di Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku pertama 2024 dan perkhidmatan penumpang untuk fasa kedua CRL (CRL2) dijangka bermula pada 2032.

Demikian menurut satu kenyataan dikeluarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin.

Stesen King Albert Park di CRL terletak di sepanjang Blackmore Drive berdekatan Bukit Timah Road dan stesen Clementi di CRL terletak bersebelahan persimpangan antara Commonwealth Avenue West dan Clementi Avenue 4.

Kontrak reka bentuk dan pembinaan stesen King Albert Park yang bernilai sekitar $447 juta telah diberi kepada cawangan tempatan syarikat China Communications Construction Company Limited.

LTA berkata China Communications Construction Company Limited mempunyai rekod prestasi yang luas dalam melaksanakan projek reka dan bina di dalam dan luar negara.

“Syarikat itu kini terlibat dalam pembinaan stesen Tampines North di CRL, stesen Boon Lay di Laluan Daerah Jurong (JRL) dan jejambat dan terowong bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura,” kata LTA.

Sementara itu, kontrak untuk reka bentuk dan pembinaan stesen Clementi yang bernilai sekitar $514 juta telah diberi kepada cawangan tempatan China Communications Construction Company Limited dan cawangan tempatan syarikat Sinohydro Corporation Limited.

“Sinohydro Corporation Limited juga telah terlibat dalam pelbagai projek infrastruktur tempatan dan luar negara. Sinohydro Corporation membina stesen Napier di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan terlibat dalam pembinaan stesen Pasir Ris East di CRL,” tambah LTA.

Menurut LTA, penumpang boleh menjangkakan masa perjalanan yang lebih singkat apabila melakukan perjalanan melalui CRL dari stesen King Albert Park atau stesen Clementi.

Sebagai contoh, penumpang boleh sampai ke stesen Jurong Lake District dari stesen King Albert Park dalam 15 minit, menjimatkan 20 minit.

Di samping itu, penumpang boleh sampai ke pusat bandar Ang Mo Kio dari stesen Clementi dalam 25 minit, menjimatkan 25 minit.

Pembinaan stesen King Albert Park dan stesen Clementi adalah sebahagian daripada CRL2. Diumumkan pada September 2022, CRL2 yang sepanjang sekitar 15 kilometer, terdiri daripada enam stesen – Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Daerah Tasik Jurong.

Menurut LTA, kajian kejuruteraan untuk fasa ketiga CRL sedang dijalankan dan butiran lanjut akan diumumkan selepas kajian selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg