Pembukaan semula SG: Warga perlu bersedia dengan risiko
- Pakar tekankan langkah longgarkan sekatan tidak bermakna ancaman Covid-19 sudah berakhir - Sekatan tidak boleh berterusan, lantas wajar warga bina daya tahan apabila berdepan kegenjotan
LEBIH banyak sekatan berkaitan Covid-19 akan mula dilonggarkan hari ini sedang bilangan kes harian baru dan kes hospital kian berkurangan.
Tambahan lagi, sehingga kini, 76 peratus penduduk setempat telah telah menjalani vaksinasi penuh di bawah program vaksinasi Covid-19.
Meskipun demikian, pakar yang ditemu bual Berita Harian menekankan, kelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19, jumlah kes jangkitan yang merosot dan kadar vaksinasi tinggi tidak bermakna warga bebas dari risiko penularan koronavirus di masa-masa akan datang.
Namun, mereka menerangkan, meskipun risiko tidak dapat dilenyapkan sepenuhnya, namun langkah pembukaan semula negara secara bertahap adalah sesuatu yang bukan hanya wajar, tapi perlu, demi memelihara ekonomi, mata pencarian dan membolehkan kehidupan sosial kembali seperti biasa, seberapa mungkin.
Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Norhisham Main, menekankan meski warga berasa tidak sabar menantikan pembukaan semula ekonomi, penting agar tetap kekal berwaspada dan bertanggungjawab.
"Pengalaman beberapa bulan ini telah mengajar kita tentang kepentingan agar terus berwaspada dan bertanggungjawab dalam mengambil langkah melindungi diri.
"Kita perlu tetap mematuhi peraturan 'safe entry' bagi memudahkan proses penjejakan kontak apabila di tempat kerja atau ketika mengunjungi sesebuah tempat.
"Elakkan juga daripada berbual di tempat yang sesak," nasihatnya.
Bermula hari ini, pemeriksaan suhu badan akan ditiadakan memandangkan negara kini boleh mengesan jangkitan lebih awal menerusi langkah pemantauan yang dipertingkat seperti kit ujian pantas antigen (ART) dan ujian pantas dan mudah (FET).
Di samping itu, 50 peratus pekerja juga kini boleh kembali ke tempat kerja.
Muatan operasi bagi tempat tarikan, pelayaran persiaran, muzium dan perpustakaan awam akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus.
Acara perhimpunan dan khidmat keagamaan, wayang, MICE, persembahan secara langsung, acara sukan yang mempunyai penonton serta majlis nikah kini boleh menerima sehingga 1,000 tetamu jika semua sudah divaksinasi.
Jika tidak, hanya sehingga 50 pengunjung yang dibenarkan hadir tanpa ujian praacara (PET).
Had muatan bagi pusat beli-belah dan bilik pameran juga dinaikkan kepada 10 meter persegi bagi setiap individu.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata sebelum ini Singapura perlu bersedia secara psikologi kerana dengan pembukaan ekonomi Singapura, lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan.
Pakar jantung, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, pengasas bersama klinik pakar, Specialist Care Group, berkata strategi yang diutarakan Encik Ong terhadap Covid-19 bukan sesuatu yang tidak munasabah.
Bahkan ia perlu disokong warga, gesanya.
"Penentukuran (calibration) antara ekonomi dengan keselamatan bukan sesuatu yang mudah tetapi ia betul apabila kita mempunyai bilangan vaksinasi yang tinggi.
"Kita telah bergerak sejauh ini dan kita juga bersikap berjaga-jaga dalam menguruskan Covid-19 untuk melindungi nyawa.
"Namun, ia bukan sesuatu yang tidak disangka bagi menyaksikan lebih banyak jangkitan dan juga kematian," ujarnya.
Dr Razakjr menambah, menangani jangkitan bukan sesuatu yang baru bagi Singapura.
Menurutnya, setiap tahun, Singapura perlu menangani kes denggi dengan tahun 2020, jangkitan berkaitan denggi melonjak lebih 30,000 kes.
Pada 2009 pula, 270,000 orang dijangkiti influenza H1N1.
Turut bersetuju, doktor keluarga yang mengendalikan Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail, berkata vaksinasi akan membantu mengurangkan komplikasi teruk dan juga kematian.
Di samping itu, ia juga dapat mengelakkan sistem jagaan kesihatan daripada dibebani menguruskan kes mereka yang sakit teruk.
Meskipun demikian, beliau memberi amaran bahawa ini bukan masanya bersuka ria dan tidak mengenakan pelitup.
Malah, amat penting warga terus mengamalkan bahkan mempertingkat langkah pengurusan selamat dengan lebih berkesan, memandangkan mereka mengetahui kadar jangkitan akan meningkat dengan interaksi sosial.
"Terus kenakan pelitup, amalkan kebersihan yang baik, elakkan tempat sesak dan kekal dalam kumpulan kecil yang dipercayai sehingga keadaan menjadi lebih stabil.
"Dalam pada itu, gesa lebih ramai ahli keluarga, rakan, jiran dan teman agar mendapatkan vaksinasi," katanya lagi. - LAPORAN TAMBAHAN OLEH SITI AISYAH NORDIN

