Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembunuhan di Beach Road: Suspek direman polis

Dec 3, 2022 | 5:30 AM
DIDAKWA DIBUNUH: Cik Ang Qi Ying (kiri) didakwa dibunuh oleh Caleb Joshua Chai Shanmugam (kanan) pada 9 November 2022. - Foto-foto SHIN MIN DAILY, PASUKAN POLIS SINGAPURA
DIDAKWA DIBUNUH: Cik Ang Qi Ying (kiri) didakwa dibunuh oleh Caleb Joshua Chai Shanmugam (kanan) pada 9 November 2022. - Foto-foto SHIN MIN DAILY, PASUKAN POLIS SINGAPURA -

SEORANG pengarah firma ubah elok rumah yang melarikan diri dari Singapura selepas didakwa membunuh rakan perniagaannya, dikeluarkan dari Hospital Besar Changi Rabu lalu.

Semalam, mahkamah diberitahu, Caleb Joshua Chai Shanmugam, 50 tahun akan direman Divisyen Polis Sentral sepanjang seminggu, lapor The Straits Times (ST).

Namun ia tidak diberitahu mengapa dia dimasukkan ke dalam hospital sebelum ini.

Chai, yang didakwa membunuh pada 18 November, akan dibebaskan sewaktu tempoh reman itu untuk membantu dalam proses siasatan.

Dalam sebuah sesi pendek di mahkamah semalam, Chai meminta agar dapat berbual bersama isterinya, namun Hakim Daerah Terence Tay menolak permintaannya dan menyerah kepada pegawai siasatan untuk membuat keputusan tersebut.

Chai didakwa membunuh Cik Ang Qi Ying, 27 tahun, dalam sebuah unit tingkat satu di Blok 2, Beach Road sekitar 7 malam pada 9 November lalu.

Kedua-dua Cik Ang, dan Chai merupakan pengarah bersama firma ubah elok rumah Smart Click Services.

Sebelum ini, Cik Ang dilaporkan telah hilang pada 9 November lalu, hingga menyebabkan rakan dan keluarganya merayu agar maklumat berkenaan keberadaannya dapat dihulur kepada mereka.

Mesej terakhir Cik Ang kepada ibunya pada hari itu adalah, beliau tidak akan pulang ke rumah pada hari tersebut.

Chai, selepas dipercayai membunuh Cik Ang, berangkat ke Malaysia pada 10 November.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata ia telah menerima panggilan berkenaan satu kes kematian luar biasa di premis kedai itu, empat hari selepas pembunuhan itu dipercayai berlaku.

"(Wanita itu) terkait dengan satu laporan orang hilang yang dibuat pada malam 10 November dan polis telah mengenal pasti seorang lelaki berusia 40 tahun, yang mempunyai hubungan dengan kes ini," tambah polis.

Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia, Chai ditangkap di Johor Bahru pada 16 November dan diserahkan kepada pihak polis di sini.

Chai diwakili peguam Suang Wijaya dan Sophia Ng daripada syarikat Eugene Thuraisingam LLP.

Mereka yang disabit kesalahan membunuh bakal menerima hukuman gantung sampai mati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg