
SALAH seorang daripada empat kes import yang dilaporkan pada Ahad (20 September) merupakan seorang pemegang pas pelajar warga Switzerland, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Lelaki berusia 25 tahun itu tiba di Singapura dari Jerman pada 9 September dan disahkan positif Covid-19 pada 19 September, menurut kenyataan MOH.
Beliau tidak menunjukkan sebarang simtom.
Kes import lain melibatkan dua pemegang pas kerja dari Filipina dan seorang pemegang pas tanggungan dari Iran.
Kesemuanya telah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).
MOH berkata, sebanyak 18 kes baru Covid-19 disahkan pada Ahad (20 September), menjadikan jumlah keseluruhan 57,576 jangkitan di Singapura sejauh ini.
Kes baru itu termasuk satu kes dalam masyarakat, seorang pemegang pas kerja yang diuji positif melalui ujian rutin MOH.
Kes lain melibatkan pekerja asing yang menetap di dormitori.
Sementara itu lagi 39 kes telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital dan kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan sejumlah 57,181 pesakit telah sembuh sejauh ini.
Seramai 30 pesakit pula masih dirawat di hospital dan lagi 338 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Seramai 27 orang pula telah meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg