Peranan guru tidak hanya sekadar mempersiapkan pelajarnya untuk menghadapi peperiksaan, malah untuk menghadapi ketidakpastian dan kerumitan kehidupan di luar sekolah.
Untuk itu, rasa ingin tahu, keterbukaan terhadap perbezaan dan perubahan perlu ditanam dalam diri pelajar sejak awal agar mereka terbiasa mengingat kemali nilai dan kepercayaan mereka serta meneroka pelbagai perspektif.
Subjek sastera merupakan alat sesuai bagi mempermudah proses ini kerana ia menjadi jambatan penerokaan keadaan manusia yang dapat membina empati sehingga pelajar belajar menerima kekaburan sebagai persediaan menghadapi kerumitan dalam kehidupan.
Inilah yang membakar azam serta dorongan kepada Encik Mohamed Firdaus Mohamed Sukor untuk terus belajar dan mengajar subjek itu.
Encik Mohamed Firdaus, 41 tahun, meraih Anugerah Guru Bahasa Inggeris Berinspirasi (ITEA) 2024 bagi kategori Anugerah Kepimpinan pada 1 Oktober.
Ketua Subjek Sastera Inggeris di Sekolah Perempuan Tanjong Katong itu merupakan antara lapan guru yang meraih penghargaan tersebut.
Daripada 127 nama yang dicalonkan, lapan guru menerima Anugerah Guru Bahasa Inggeris Berinspirasi pada 2024.
Lima guru meraih anugerah bagi kategori Anugerah Mengajar, yang mengiktiraf guru yang menjadi teladan dalam penggunaan bahasa Inggeris pertuturan dan bertulis yang baik.
Tiga guru pula meraih anugerah bagi kategori Anugerah Kepimpinan, yang mengiktiraf guru yang berperanan sebagai Ketua Jabatan ataupun Ketua Subjek yang membangunkan kecekapan pengajaran guru Bahasa Inggeris dalam menggubal program pengajaran di sekolah mereka berkhidmat.
Setiap pemenang menerima trofi, sijil dan wang tunai $2,000. Semua pemenang dan calon juga menerima keahlian Singapore Association for Applied Linguistics (SAAL) selama dua tahun.
Anugerah itu disampaikan oleh Speak Good English Movement dan akhbar The Straits Times (ST).
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, hadir sebagai tetamu terhormat dan menyampaikan anugerah ITEA kepada lapan penerima itu.
Semasa berucap, Cik Gan menggalakkan para guru terus meneroka inovasi dan pendekatan yang bermakna untuk membina asas bahasa Inggeris yang kukuh dalam kalangan pelajar.
Ini agar mereka dapat mengembangkan keyakinan dan kecekapan menggunakan bahasa tersebut secara berkesan.
Menjelaskan tentang pendekatannya dalam mendidik pelajar, Encik Mohamed Firdaus, yang telah berkhidmat sebagai guru selama 14 tahun, menekankan pentingnya memupuk keseronokan belajar dalam diri pelajar serta membantu mereka melihat hubungan antara pembelajaran di dalam bilik darjah dengan aplikasi praktikal dalam kehidupan nyata.
“Falsafah saya sebagai seorang guru berakar pada kepercayaan bahawa pelajar adalah pusat daripada proses pembelajaran.
“Pendekatan saya didorong prinsip pembelajaran konstruktivis dan kolaboratif. Saya memberi pelajar saya peluang yang luas untuk membina pemahaman sendiri dan membentuk perkaitan melalui perbincangan dan interaksi dengan orang lain,” jelas beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg