Topik diikuti
Pergi ke BHku'Balada Tun Fatimah' hidupkan jiwa Melayu
Pementasan keempat Teater Kami janji kelainan dari segi persembahan
'Balada Tun Fatimah' hidupkan jiwa Melayu
SEMPENA Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh bulan depan, Teater Kami sekali lagi mempersembahkan Balada Tun Fatimah, pementasan yang dipetik daripada sejarah Melayu dan naskhah Puisi Balada Tun Fatimah tulisan Zaihasra.
Pengarah Artistik Teater Kami, Atin Amat menjelaskan konteks jalan cerita kisah Tun Fatimah yang berlaku sewaktu abad ke-16 masih relevan hingga ke hari ini.
Tun Fatimah ialah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dianggap sejarah sebagai lambang srikandi Melayu sejati.
Kecantikannya suatu masa dahulu sampai ke telinga Sultan Melaka yang ingin memperisterikannya.
Namun, Sultan menjadi murka dengan Bendahara kerana mendapat tahu Tun Fatimah sudah berpunya.
Atas desakan Raja Mandeliar, Sultan Mahmud Shah menghukum bunuh seluruh keluarga Tun Fatimah, dan mengambilnya sebagai isteri muda diraja secara paksa.
Untuk kali pertama, watak penting itu akan didukung oleh pelakon teater, Suhaili Safari, yang akan memainkan kesemua peranan dalam susunan naskah yang diolah oleh Atin yang juga Pengarah Artistik Teater Kami.
"Untuk mengelakkan komplikasi menerbitkan pementasan besar-besaran, dan memandangkan kita menghadapi masalah pandemik, saya mengambil keputusan untuk menyampaikan persembahan ini menerusi lakonan monolog, dan dibantu dengan unsur muzik tradisional," ujar Atin yang juga penerima Pingat Budaya pada 2011, iaitu pengiktirafan tertinggi negara atas sumbangan besarnya dalam menyuburkan arena budaya dan seni.
Bagi Atin, ini adalah kali kedua beliau bekerjasama dengan Suhaili.
"Suhaili ialah seorang pelakon yang ada pakej - boleh berlakon dan menyanyi dengan baik, agak lasak dari segi fizikal dan ini membantu dalam penyampaiannya bila diperlukan untuk bergerak, bersilat atau menari. Itu adalah keistimewaannya..." tambah Atin.
Suhaili, 35 tahun, yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jenis persembahan, mula berjinak-jinak dalam bidang teater sejak berusia 17 tahun.
Namun, tanggungjawab memikul watak srikandi dari sejarah dan membiasakan diri dengan dialog klasik dan puisi agak mencabar pada mulanya.
Suhaili banyak menghabiskan masa bersama Atin untuk menyelongkar isi kandungan naskhah supaya lebih memahami apa yang ingin disampaikan, katanya.
"Saya mahu lakukan terbaik dan tidak mahu mengecewakan para sasterawan," ujarnya.
Selain persiapan menghafal dan menghayati dialog, Suhaili juga harus pandai 'menjimat' tenaga untuk bertahan dalam pementasan sejam itu.
Watak Fatimah dalam ketiga-tiga pementasan sebelum ini didukung Dalifah Shahril, pelakon teater dan juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Teater Life 2018.
Balada Tun Fatimah pernah dipentaskan pada 2002, 2007 dan 2012 untuk persembahan Pesta Raya di Esplanade.
Selain monolog, persembahan ini juga akan diiringi oleh alunan muzik tradisional seperti gambus, rebana, seruling, akordion dan biola.
Ia menggabungkan pemuzik tradisional tanah air, Fadhli Ramlee dan Aidil Akmal.
"Kalau kita lihat persembahan dari dulu lagi seperti bangsawan, memang menggunakan muzik 'live' dan ini adalah satu cara kita dapat mendidik generasi baru tentang alat-alat muzik tradisional," terang Fadhli, 38 tahun, tentang mengapa muzik 'live' lebih berkesan berbanding menggunakan muzik yang direkod.
Seorang lagi pemuzik dalam pementasan itu, Aidil Akmal, 32 tahun, pula tertarik kepada alat muzik tradisional.
Beliau menyifatkan "alat muzik tradisional ada jiwanya tersendiri jika dibandingkan dengan alat muzik pop seperti keyboard atau gitar".
Untuk membantu mengangkat jalan cerita, Atin turut bergabung dengan beberapa karyawan seni seperti pereka set Yan Asan yang bertanggungjawab membina set pementasan.
Sementara itu, penggiat teater tanah air Ema Saleh dan Moli Mohter turut terlibat sebagai pereka cahaya dan pereka pakaian.
"Mungkin cerita ini berasal daripada idea saya, tapi dibantu oleh individu-individu berbakat besar untuk menaik taraf pementasan ini," jelas Atin.
"Untuk mengelakkan komplikasi menerbitkan pementasan besar-besaran, dan memandangkan kita menghadapi masalah pandemik, saya mengambil keputusan untuk menyampaikan persembahan ini menerusi lakonan monolog, dan dibantu dengan unsur muzik tradisional... Suhaili (Safari) ialah seorang pelakon yang ada pakej - boleh berlakon dan menyanyi dengan baik, agak lasak dari segi fizikal dan ini membantu dalam penyampaiannya bila diperlukan untuk bergerak, bersilat atau menari. Itu adalah keistimewaannya..." - Pengarah Artistik Teater Kami, Atin Amat.
PEMENTASAN 'BALADA TUN FATIMAH'
TARIKH: 3 hingga 5 Mac 2022
MASA: 8.30 malam (setiap hari) 3 petang (pementasan tambahan pada 5 Mac)
TEMPAT: Taman Warisan Melayu
TIKET: $25 dari Teater Kami Limited
PEMENTASAN DISOKONG: Majlis Seni Kebangsaan, Arts Fund, Yayasan Lee dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu