Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian 'guru', pelawak klasik profesional yang disegani

Mar 27, 2021 | 5:30 AM
PRIHATIN: (Dari kiri) Allahyarham Samad Ayob menerima derma $500 dalam gambar yang dirakam pada 2015 ini. Sumbangan itu merupakan projek Kami Peduli bagi membantu artis yang sakit dan memerlukan anjuran Life Records dan Orange Promotions. Ia disampaikan oleh Husin Saaban (tengah) dan Alias Kadir. - Foto fail
PRIHATIN: (Dari kiri) Allahyarham Samad Ayob menerima derma $500 dalam gambar yang dirakam pada 2015 ini. Sumbangan itu merupakan projek Kami Peduli bagi membantu artis yang sakit dan memerlukan anjuran Life Records dan Orange Promotions. Ia disampaikan oleh Husin Saaban (tengah) dan Alias Kadir. - Foto fail -

PEMERGIAN pelawak setempat Samad Ayob kelmarin begitu dirasakan terutama dalam kalangan mereka yang pernah bekerja rapat dengannya, walaupun beliau sebenarnya sudah lama tidak aktif dalam dunia hiburan sejak lebih sedekad lalu.

Selepas era pelakon komedi yang mencipta nama menerusi film-filem keluaran Shaw Brothers seperti S. Shamsudin dan Wahid Satay dari Cathay Keris, Allahyarham dianggap sebagai "guru" dalam kalangan pelawak-pelawak Singapura yang lebih muda, terutama dalam era 1980-an hingga 1990-an.

Dalam kalangan penerbit dan pengarah yang sering bekerjasama dengannya di televisyen, beliau dilihat sebagai pelawak "klasik" yang begitu profesional, tidak kira sama ada ditampilkan secara solo atau berkumpulan.

Konsultan media dan ikon penerbitan televisyen Singapura, Encik Suhaimi Jais, 68 tahun, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun bekerja bersama pelawak itu terutama untuk rancangan khas Hari Raya ketika dihubungi Berita Harian berkata, Samad adalah segelintir pelawak yang mampu mengolah skrip sehingga menjadi lebih kelakar daripada nashkahnya.

"Samad adalah seniman komedi yang cukup klasik. Kasi skrip, dia akan olah skrip iaitu sehingga ia menjadi skrip sendiri dan biasanya hasilnya lebih kelakar daripada skrip asal.

"Tak pernah mengeluh biarpun kadangkala rakaman TV berlarutan sampai ke tengah malam. Samad memang baik hati dan cukup profesional," kata Encik Suhaimi, mantan Naib Presiden Kanan Mediacorp Suria dan Eaglevision itu.

Profesional yang dimaksudkan juga tergambar dengan ketegasan Samad yang enggan berlawak atau diajak bergurau ketika beliau melakukan tugas sepenuh masanya sebagai Pegawai Kastam.

Cik Sabariah Ramilan, Ketua, Audiens Melayu & Eaglevision, Mediacorp pula berkongsi bahawa beliau berpeluang bekerja dengan Allahyarham untuk rancangan-rancangan hiburan TV seperti Hanya Untukmu dan Hiburan Minggu Ini serta siri kanak-kanak Mat Yoyo, sekitar tahun-tahun 80-an dan 90-an.

"Di rancangan seperti inilah arwah membuat penampilan sebagai seorang pelawak atau pelakon komedi. Waktu itu saya baru sahaja mula bekerja sebagai Pengkaji-Penulis Rancangan.

"Walaupun seorang pelawak, Allahyarham ialah seorang yang disegani dan berdedikasi semasa bekerja.

"Beliau akan menjadi marah sekiranya teman lakonannya kurang serius dalam persembahan mereka. Saya kagum dengan kebolehan beliau mengimbangi watak dan personaliti beliau yang versatil.

" Saya juga belajar erti rendah hati dan sikap hormat kepada orang lain daripada beliau. Sedihnya beliau tidak lagi aktif di kaca TV sejak akhir 90-an," kata Cik Sabariah.

Personaliti popular dalam bidang komedi, Suhaimi Yusof pula menganggap Allahyarham sebagai seorang guru yang menyuntik banyak inspirasi.

"Abang Samad Ayob merupakan inspirasi awal bagi saya sewaktu baru memulakan kerjaya di radio. Kita bertemu hampir setiap minggu selama tiga tahun semasa arwah menjalankan tugas bersama Allahyarham Nordin Kassim untuk segmen dua jam "live" di restoran Restu Muslim Seafood sekitar awal 1990-an.

"Saya masih ingat lagi jenaka-jenaka spontan yang beliau lontarkan. Secara berkumpulan atau bersendirian, beliau tetap menghiburkan.

"Pada saya, Samad Ayob tidak ada pengganti dan waktu tu saya anggap beliau sebagai "Tok Guru Lawak" saya," kata Suhaimi.

Pelawak Yusoff Maruwi pula menyifatkan Allahyarham sebagai pasangan pelawak yang serasi dengannya sejak pertama kali bersama-sama berlakon dalam Sandiwara TV dan drama komedi berjudul Panglima Pangsa tulisan Nadiputra dan terbitan Bani Buang pada 1979.

"Dalam lawak kami, beliau selalu berperanan striker, saya feeder. Beliau boleh dikategorikan orang lama yang mana lawak 'slapstick' tetap ada.

"Tapi jika berpandu kemahuan skrip beliau akan patuh. Saya senang bekerja dengan beliau kerana sering suka berseloroh. Bagi saya beliau seorang pelakon dan pelawak yang sangat bagus," singkap Yusoff.

Bagi pelawak Husin Saaban, beliau adalah salah seorang idola yang dihormati.

"Besar hati saya waktu pertama kali berlakon dengannya... mudah berkerjasama dengan beliau... semoga rohnya dicucuri rahmat," kata Husin.

Allahyarham Samad meninggal dunia kelmarin petang pada usia 73 tahun.

Sebelum itu, beliau berada di Hospital Masyarakat Outram selama sebulan, namun pulang ke rumah sejak hampir tiga minggu lalu.

Beliau juga pernah dilaporkan mengalami sakit jantung beberapa tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Jenazahnya selamat disemadikan di Pusara Abadi sebelum solat Jumaat semalam.

"Samad adalah seniman komedi yang cukup klasik. Kasi skrip, dia akan olah skrip iaitu sehingga ia menjadi skrip sendiri dan biasanya hasilnya lebih kelakar daripada skrip asal. Tak pernah mengeluh biarpun kadangkala rakaman TV berlarutan sampai ke tengah malam. Samad memang baik hati dan cukup profesional." - Encik Suhaimi Jais, mantan Naib Presiden Kanan Mediacorp Suria dan Eaglevision yang juga konsultan media dan ikon penerbitan televisyen Singapura.

"Abang Samad Ayob merupakan inspirasi awal bagi saya sewaktu baru memulakan kerjaya di Radio... "Pada saya, Samad Ayob tidak ada pengganti dan waktu tu saya anggap beliau sebagai "Tok Guru Lawak" saya." - Personaliti popular dalam bidang komedi, Suhaimi Yusof.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg