Penghormatan tinggi terus mencurah berikutan berita tentang pemergian mantan Mufti Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, 87 tahun, pada 7 Julai, yang pernah berkhidmat sebagai Mufti kedua Singapura dari 1972 hingga 2010 – lantas meletakkannya sebagai mufti paling lama yang berkhidmat di Singapura.
Pemergian Allahyarham Ustaz Syed Isa, seorang yang berdedikasi dan tidak lelah mempromosikan masyarakat Islam yang yakin dan progresif, merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Islam Singapura dan negara, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 7 Julai, Muis berkata kebijaksanaan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Ustaz Syed Isa telah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Islam yang berpandangan ke hadapan dan yakin pada diri sendiri, serta meninggalkan kesan berpanjangan kepada Singapura dan seterusnya.
“Masyarakat telah kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang berdedikasi yang bekerja tanpa jemu untuk memartabatkan masyarakat dan menggalakkan keharmonian antara agama.
“Adalah menjadi harapan kami agar legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada generasi pemimpin masyarakat dan agama akan datang.
“Muis ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syed Isa atas kehilangan mereka. Semoga Allah swt mencucuri rahmat atas segala jasa dan sumbangan besarnya kepada kesejahteraan masyarakat dan negara,” kata Muis.
Sepanjang kepimpinannya sebagai Mufti selama 38 tahun, Allahyarham Ustaz Syed Isa, yang menjadi Mufti pada usia 33 tahun, menyaksikan penubuhan pelbagai institusi penting yang telah membantu memacu kehidupan beragama masyarakat.
Ini termasuk penubuhan sistem penentuan kalendar Islam, pembangunan institusi kutipan dan penyaluran zakat, program pembangunan sosial untuk fakir miskin dan Dana Pembinaan Masjid, tambah Muis.
Allahyarham Ustaz Syed Isa juga menyelia pengurusan dan pertumbuhan harta wakaf Singapura dan penubuhan sistem Pensijilan Halal yang boleh dipercayai dan diterima di peringkat antarabangsa.
Beliau juga menyokong pembentukan Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah di Bishan untuk menggalak penglibatan dan keharmonian antara agama yang lebih luas.
Bagi menggalak umat Islam menunjukkan belas ihsan terhadap golongan fakir, miskin dan mangsa bencana tanpa mengira kepercayaan atau bangsa, Allahyarham Ustaz Syed Isa menyokong penubuhan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) pada 2005.
Sebagai Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa juga mengetuai Jawatankuasa Fatwa untuk mencari penyelesaian bagi isu-isu yang mencabar dan menjadi perbalahan.
“Beliau mempengerusikan isu sukar seperti Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) di mana beliau dapat membawa pihak berkuasa dan masyarakat bersama untuk menerima penyelesaian unik untuk masyarakat sebelum kami menerima sepenuhnya sistem Hota pada 2007.
“Selain itu, Syed Isa turut mengetuai usaha menangani penahanan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dan menyokong usaha menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dalam memulihkan tahanan dan keluarga mereka, antara lain,” kata Muis.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, turut meluahkan perasaan dukacitanya atas pemergian Allahyarham Ustaz Syed Isa.
Dalam kenyataannya kepada Berita Harian (BH), beliau berkata sumbangan dan kepimpinan Allahyarham Ustaz Syed Isa amat dihargai dan akan terus dikenang.
“Allahyarham adalah salah seorang anggota pengasas Mendaki yang telah bantu masyarakat Melayu/Islam menerusi pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Sebagai mantan Mufti Singapura, Allahyarham telah bekerja rapat dengan pemimpin masyarakat dan ulama untuk bantu keluarga Melayu/Islam menerusi pendidikan dan bimbingan agama,” kata Cik Zuraidah.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut bersama di Masjid Sultan untuk solat jenazah pada 7 Julai, berkata beliau akan sentiasa mengenang Allahyarham atas kebaikan dan bimbingannya yang lembut ketika beliau masih muda dan baru menceburi bidang politik.
Pada ketika itu, Encik Masagos berkata beliau hanya mengenalinya melalui kontroversi dan tentangan daripada sebahagian masyarakat terhadap fatwa dan panduan rasmi yang beliau keluarkan.
“Selepas setiap mesyuarat Majlis Tertinggi Muis, beliau menjemput saya ke pejabatnya dengan mesra dan penuh murah hati.
“Dalam detik tenang itulah, saya mula melihat dengan jelas keluasan pandangannya, kehalusan budi pekertinya, rendah hati dan sifat sabarnya yang begitu kuat sungguhpun dicemuh, dan kebijaksanaannya yang tersembunyi,” kata Encik Masagos.
Namun, beliau berkata yang paling meninggalkan kesan mendalam pada dirinya adalah keteguhan pendirian Allahyarham untuk sentiasa melakukan apa yang benar dan baik demi masyarakat, walaupun sukar atau tidak disukai.
Encik Masagos berkata: “Keberanian itu terus memberi inspirasi kepada saya hingga ke hari ini.”
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata Allahyarham telah banyak berjasa dan berkorban dalam membangunkan kehidupan agama masyarakat Islam Singapura melalui panduan fatwa beliau.
Beliau turut menekankan nasihat dan bimbingan Allahyarham dalam menangani kehidupan yang unik di Singapura – yang susah diperoleh dalam banyak masyarakat lain di luar Singapura – di mana masyarakat majmuk dapat hidup bersama bangsa dan agama lain.
“Beliau telah memberikan banyak bimbingan bagaimana Islam dapat memberikan respons yang baik, bagaimana umat Islam di Singapura dapat sama-sama membangunkan negara tanpa kehilangan identiti keagamaan mereka.
“Beliau juga sentiasa berpesan supaya kami, para asatizah, menjaga nama baik asatizah dan menjaga nama baik Singapura dalam segala yang kami usahakan dan amalkan,” kata Dr Nazirudin.
Pengerusi bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, menyifatkan Allahyarham Ustaz Syed Isa sebagai tokoh ulama tempatan yang telah banyak menabur jasa kepada masyarakat Islam dan negara.
Beliau menukil contoh usaha Allahyarham sebagai pejuang membangunkan keupayaan asatizah tempatan dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan harmoni bersama dengan kaum dan bangsa lain.
“Secara peribadi, beliau seorang yang amat mudah didekati dan tidak lokek memberi nasihat yang sangat bermanfaat.
“Antara nasihat yang saya pegang hingga kini adalah penekanan beliau bahawa usaha menangkis fahaman ekstremis adalah usaha yang penting dan mulia serta ia menjadi tanggungjawab golongan agamawan untuk memikulnya,” kata Ustaz Dr Mohamed.
Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohammad Tarmizi Abdul Wahid, dalam kenyataannya kepada BH pada 7 Julai menyifatkan Allahyarham sebagai “seorang tokoh yang berilmu, tenang, dan berakhlak tinggi”.
Ia turut menyanjung sumbangan Allahyarham dalam membimbing masyarakat dalam pelbagai isu keagamaan yang kompleks, dengan pendekatan fatwa yang berasaskan hujah, berimbang dan menyentuh realiti masyarakat semasa.
Berkongsi pengalaman peribadinya bersama Allahyarham, Ustaz Tarmizi, berkata:
“Saya pernah berkhidmat di Pejabat Mufti di bawah pimpinan beliau.
“Almarhum membawa kami menempuh banyak waktu yang mencabar, dan sepanjang itu, beberapa fatwa penting dan bersejarah telah dikeluarkan. Ia adalah pengalaman yang sangat bermakna.”
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, berkata pemergian Allahyarham menandakan kehilangan seorang tokoh yang menjulang tinggi dalam landskap agama dan masyarakat.
Sebagai Mufti, Dr Razwana berkata kepimpinan berwawasan Allahyarham telah meletakkan asas untuk bimbingan agama inklusif yang bergema dengan realiti hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ulama yang memimpin dengan rendah hati, seorang pembimbing yang menasihati dengan jelas dan seorang mentor yang mengilhami keberanian dan keyakinan dalam kalangan ramai.
“PPIS amat mengenang Allahyarham Ustaz Syed Isa sebagai penyokong tegar pemerkasaan wanita dalam bidang agama.
“Advokasi beliau secara senyap membantu membuka jalan bagi penyertaan lebih ramai wanita Islam dalam wacana masyarakat dan agama, serta penglibatan beliau dengan pemimpin pengasas kami mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan peranan keluarga dalam pembinaan negara,” kata Dr Razwana.
Mengulas tentang keperibadian Allahyarham, mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata:
“Pandangannya bertentangan dengan pandangan tradisional Islam yang berbeza daripada dunia moden.
“Beliau membuka jalan kepada amalan Islam yang konsisten dengan zaman moden. Kita telah kehilangan permata dan jiwa yang indah. Kita hanya boleh berharap legasinya berkekalan.”
Penghormatan buat mantan Mufti, Syed Isa Semait
“
“Masyarakat telah kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang berdedikasi yang bekerja tanpa jemu untuk memartabatkan masyarakat dan menggalakkan keharmonian antara agama. Adalah menjadi harapan kami agar legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada generasi pemimpin masyarakat dan agama akan datang.”“
“Allahyarham adalah salah seorang anggota pengasas Mendaki yang telah bantu masyarakat Melayu/Islam menerusi pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Sebagai mantan Mufti Singapura, Allahyarham telah bekerja rapat dengan pemimpin masyarakat dan ulama untuk bantu keluarga Melayu/Islam menerusi pendidikan dan bimbingan agama.”“
“Selepas setiap mesyuarat Majlis Tertinggi Muis, beliau menjemput saya ke pejabatnya dengan mesra dan penuh kemurahan hati. Dalam detik-detik tenang itulah, saya mula melihat dengan jelas keluasan pandangannya, kehalusan budi pekertinya yang merendah diri, sifat sabarnya yang begitu kuat sungguhpun dicemuh dan kebijaksanaannya yang tersembunyi.”“
“Secara peribadi, beliau seorang yang amat mudah didekati dan tidak lokek memberi nasihat yang sangat bermanfaat. Antara nasihat yang saya pegang hingga kini adalah penekanan beliau bahawa usaha menangkis fahaman ekstremis adalah usaha yang penting dan mulia serta ia menjadi tanggungjawab golongan agamawan untuk memikulnya.”“
“Saya pernah berkhidmat di Pejabat Mufti di bawah pimpinan beliau. Almarhum membawa kami menempuh banyak waktu yang mencabar, dan sepanjang itu, beberapa fatwa penting dan bersejarah telah dikeluarkan. Ia adalah pengalaman yang sangat bermakna.”“
“PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) amat mengenang Allahyarham Ustaz Syed Isa sebagai penyokong tegar pemerkasaan wanita dalam bidang agama. Advokasi beliau secara senyap membantu membuka jalan bagi penyertaan lebih ramai wanita Islam dalam wacana masyarakat dan agama, serta penglibatan beliau dengan pemimpin pengasas kami mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan peranan keluarga dalam pembinaan negara.”“
“Beliau telah memberikan banyak bimbingan bagaimana Islam dapat memberikan respons yang baik, bagaimana umat Islam di Singapura dapat sama-sama membangunkan negara tanpa kehilangan identiti keagamaan mereka. Beliau juga sentiasa berpesan supaya kami - para asatizah - menjaga nama baik asatizah dan menjaga nama baik Singapura dalam segala yang kita usahakan dan amalkan.”“
“Pandangannya bertentangan dengan pandangan romantik Islam yang berbeza daripada dunia moden. Beliau membuka jalan kepada amalan Islam yang konsisten dengan zaman moden. Kita telah kehilangan permata, jiwa yang indah. Kita hanya boleh berharap legasinya berkekalan,”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg