Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian tokoh agama yang cintakan ilmu, satu kehilangan besar

Aug 5, 2024 | 8:17 PM
Jenazah Allahyarham Ustaz Jakfar Embek diusung ke van jenazah untuk dibawa ke Masjid Pusara Aman untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
Jenazah Allahyarham Ustaz Jakfar Embek diusung ke van jenazah untuk dibawa ke Masjid Pusara Aman untuk disolatkan sebelum dikebumikan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek disifatkan sebagai seorang yang mencintai dan mementingkan ilmu.

Beliau, yang mempunyai semangat kemasyarakatan yang tinggi, juga dianggap sebagai ‘abang’ bagi sesetengah asatizah muda.

Mereka yang ditemui Berita Harian (BH) berkata pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi masyarakat Islam di Singapura.

Menurut mereka yang ditemui di rumah adik Allahyarham di Hougang Avenue 5, Ustaz Mohammad Jakfar, yang selalu menyumbang karya kepada BH termasuk dalam ruangan Hidayah, sentiasa menggalakkan penulisan dalam kalangan asatizah.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, yang juga Naib Setiausaha Kehormat, Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), berkata:

“Setiap kali kalau jumpa teman-teman, beliau galakkan kami, termasuk diri saya, untuk banyak menulis.

“Saya sudah tulis dua buku dan itu sebenarnya hasil daripada galakkan Ustaz Jakfar.”

Menurut beliau, Allahyarham juga membantu menghasilkan buku terbitan Pergas, Obor Ummah, yang merakam sumbangan asatizah serta pemimpin agama mapan di Singapura. 

Allahyarham juga dikenali kerana cintanya kepada masyarakat.

Ustaz Lukmannul Hakeem Ahmad, pegawai dakwah di Masjid Omar Salmah, mula mengenali Allahyarham sebagai ketua belia.

“Beliau dikira abang buat kami. Semangatnya terhadap dakwah tidak pernah luntur. Bapanya juga terkenal di Singapura (Allahyarham Ustaz Embek Ali). Maka, saya rasa dari situ datangnya sifat kepimpinan dan darah dakwah beliau,” ujar Ustaz Lukmannul Hakeem.

Ustaz Bahrul Ulum menambah bahawa Allahyarham seorang yang “peramah dan ramai menyenangi dengan akhlak beliau” serta “gemar menyatukan sesama asatizah dan pelajar”.

Allahyarham serta beberapa asatizah yang lain, termasuk Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, Timbalan Mufti Singapura, dilihat sebagai antara penggerak awal yang dianggap ‘mentor’ bagi Ittihad Mahasiswa Pengajian Islam Antarabangsa Singapura (IMPIAN), persatuan yang mengadakan inisiatif pembangunan buat pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara, yang ditubuhkan pada tahun 1990-an.

Tambahan pula, Allahyarham juga dilihat sebagai seorang yang mendedikasikan hidupnya dengan ilmu.

Ustaz Dr Mohammad Hannan, yang merupakan teman lebih tiga dekad, berkata Allahyarham sering menjadi pelajar tertua dalam kelas.

“Beliau tidak bermula di madrasah sepenuh masa, tetapi minat mendalam beliau kepada pengajian dan pemikiran Islam mendorong beliau mempelajari tradisi Islam, termasuk di Malaysia.

“Cinta ilmu dan budaya ilmu dalam dirinya mempengaruhi sesiapa yang berinteraksi dengan beliau, serta penuntut beliau,” tambahnya.

Ustaz Dr Mohammad Hannan menyifatkan Allahyarham sebagai ‘teman tinjunya’ dalam isu-isu intelektual, masyarakat dan dakwah dan perbincangan mereka sering berlarutan sehingga larut.

“Jika ada seseorang yang mungkin boleh menulis mengenai pemikiran saya, ia adalah Ustaz Jakfar, namun beliau telah pergi buat selamanya,” ujarnya.

Legasi Allahyarham sudah semestinya akan kekal mekar dalam arena dakwah Islam Singapura.

Setiap asatizah dan individu yang telah menerima bimbingan Allahyarham sudah pun menjadi pemimpin organisasi Islam di Singapura dan ini merupakan hasil usaha beliau selama ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg