Masyarakat Melayu/Islam Singapura bersedih kerana kehilangan seorang agamawan dan tokoh masyarakat, Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, 69 tahun, yang meninggal dunia pada 18 Disember.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 22 November selepas mengalami sesak nafas dan dikatakan berada dalam keadaan kritikal pada masa itu.
Pemergian ustaz mapan yang juga pengarah urusan ejen penjualan (GSA) pakej haji TM Fouzy Travel & Tours itu meninggalkan kesan mendalam disebabkan sumbangan besarnya kepada masyarakat.
Akaun Facebook rasmi TM Fouzy Travel & Tours mengumumkan mengenai pemergian Allahyarham dalam satu hantaran pada 4.16 petang. Menurut hantaran itu, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Sultan selepas zuhur pada 19 Disember.
Berita Harian telah menghubungi keluarga Allahyarham untuk mendapatkan butiran lanjut.
Hantaran tersebut dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai, termasuk beberapa pemimpin masyarakat Melayu/Islam Singapura, seperti Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan seorang anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Selain membimbing jemaah melalui perjalanan haji mereka menerusi syarikatnya, Allahyarham berkhidmat sebagai presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) selama lebih 15 tahun.
Bagi menghargai sumbangan beliau kepada masyarakat, Allahyarham diberi Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2011.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan presidennya, Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid, memberi penghormatan kepada Allahyarham dalam hantaran Facebook masing-masing.
“(Pemergian Allahyarham) satu kehilangan besar kepada masyarakat kita. Semoga Allah membalas Allahyarham dengan darjat yang tertinggi dalam kalangan anbiya dan rasul di Jannah, atas semua yang telah beliau lakukan untuk masyarakat kita.
“Allahyarham membawa beribu-ribu jemaah ke tanah suci, dan saya bertuah kerana menjadi salah seorang daripada mereka untuk musim haji tahun lepas.
“Beliau juga menderma dengan murah hati kepada begitu banyak pertubuhan dan menaja ramai pelajar melanjutkan pelajaran mereka di luar negara,” tulis Ustaz Muhammad Tarmizi.
Jamiyah Singapura juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya.
“Allahyarham, yang merupakan (bekas) Presiden Amtas, serta pengasas dan pengarah urusan TM Fouzy Travel & Tours, telah mencurahkan bakti yang tidak ternilai kepada masyarakat Singapura.
“Jasa dan sumbangan murni beliau akan kekal terpahat dalam ingatan masyarakat. Allahyarham juga telah memberikan sokongan padu kepada program-program dakwah Jamiyah Singapura,” tulis akaun rasmi Facebook Jamiyah Singapura.
Dalam satu hantaran Facebook pada 18 Disember, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen Mohamed, berkata sumbangan Allahyarham dipaparkan juga melalui peranan penting beliau dalam Jawatankuasa Fatwa dan Lembaga Yayasan Rahmatan lil ‘Alamin (RLAF) menerusi pandangan mendalamnya dan bimbingan bernas.
“Walaupun hati kami sarat dengan kesedihan, kami mendapat ketenangan dalam legasi yang telah dihasilkan Allahyarham.
“Ajarannya akan terus bergema, dan inisiatif yang diperjuangkannya sudah pasti akan berkembang, memastikan semangat belas kasihannya dan pengetahuannya terus kekal menerusi generasi akan datang,” kata Encik Kadir.
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) turut memperingati jasa Allahyarham dalam satu kiriman di media sosial.
Menurut kiriman tersebut, Allahyarham - yang telah menyertai kumpulan itu sejak 2006 - aktif selaku kaunselor agama di RRG dan banyak mendidik masyarakat tentang bahaya fahaman tegar dan ekstremisme.
Mantan Anggota Parlimen, Encik Amrin Amin, turut memberi penghormatan kepada Allahyarham di hantaran Facebooknya pada 18 Disember.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak jemu berbakti kepada masyarakat dengan menjalankan kelas agama, memimpin solat, dan menyampaikan khutbah di masjid.
“Sebagai ketua Amtas dan seorang ulama kanan, Allahyarham teguh dengan prinsipnya. Beliau menangani isu yang beliau percayai dengan berani, tetapi sentiasa dengan kebijaksanaan dan keikhlasan.
“Baginya, kewajipan dan integriti tidak boleh dirunding, ia berfungsi sebagai prinsip panduannya,” tulis beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg