PEMERIKSAAN sukarela bagi penyakit batuk kering (TB) akan ditawarkan Kementerian Kesihatan (MOH) bagi penduduk dan bekas penduduk Blok 174D, Hougang Avenue 1.
Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli pengesanan kelompok seramai empat individu yang dikenal pasti menghidap TB1 di empat unit berbeza blok tersebut.
Dalam kenyataannya pada Sabtu (24 Oktober), MOH menjelaskan pemeriksaan itu ditawarkan secara percuma di Unit Kawalan Batuk Kering (TBCU) di Moulmein Road mulai 26 Oktober ini.
Pegawai TBCU dan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) akan berkunjung dari rumah ke rumah di kesemua unit Blok 174D Hougang Avenue 1 antara Ahad (25 Oktober) dengan Selasa (27 Oktober) bagi mendekati penduduk yang terjejas.
Mereka akan digalakkan menjalani pemeriksaan tersebut, tambah MOH.
Penduduk juga boleh membuat janji temu bagi pemeriksaan TB di TBCU menerusi kunjungan pegawai berkenaan.
Bagi mereka yang tiada di rumah, janji temu bagi pemeriksaan boleh dibuat menerusi panggilan telefon ke TBCU.
Bekas penduduk yang tinggal di situ dari Februari 2020 juga boleh menghubungi talian 'hotline' TBCU di talian 6248-4430.
MOH menambah pihaknya diberitahu tentang empat kes batuk kering melibatkan penduduk blok berkenaan pada 10 Oktober lalu.
Mereka yang menetap di unit berbeza dikenal pasti menghidap TB antara Januari 2018 dengan Jun 2020.
Dua pesakit TB ini sudah tamat menjalani proses rawatan manakala dua lagi sedang menjalani rawatan dan tiada lagi jangkitan.
Memandangkan empat individu ini sudah tiada lagi jangkitan sejurus rawatan diperolehi, kes berkenaan bukanlah sesuatu yang menimbulkan risiko kesihatan awam.
Sejajar dengan strategi pencegahan TB, Program Penghapusan TB Singapura (STEP) mengusulkan siasatan kontak setelah dimaklumkan tentang empat kes berkenaan.
Kontak rapat kes itu sudah dikenal pasti bagi menjalani pemeriksaan. Hasil siasatan setiap kes ini mendapati mereka bukan kontak rapat malah tidak mengenali satu sama lain dan tidak pernah berinteraksi sesama mereka.
Kelompok TB kemudian ditentukan berdasarkan keputusan penjujukan genetik pada Oktober 2020 sebagai sebahagian ujian restrospektif kes TB bagi menentukan kaitan yang kemungkinannya wujud.
Empat kes berkenaan, jelas MOH, memiliki susunan genetik yang sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg