PEMERIKSAAN perubatan enam bulanan bagi pembantu rumah migran (MDW) dan pemegang permit kerja (WPH) wanita akan ditangguhkan ekoran peningkatan dalam jumlah kes Covid-19 di sini.
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), langkah ini adalah bagi mengurangkan tekanan dan beban tangani pesakit yang dihadapi penyedia penjagaan kesihatan, terutamanya klinik doktor perubatan umum (GP) dan polikilnik.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MOM semalam, majikan yang menerima notis pemeriksaan perubatan enam bulanan (6ME) bertarikh Januari dan Februari 2022 bagi MDW dan WPH wanita mereka, tetapi belum menghantar pekerja mereka untuk 6ME, sekarang akan mempunyai tempoh yang lebih lama - sehingga 30 April 2022 - untuk melakukan demikian.
Sebaliknya, majikan yang pekerjanya yang sepatutnya menerima notis 6ME pada Mac dan April 2022 pula, akan dimaklumkan mengenai tarikh baru 6ME melalui pos dan e-mel dari akhir April.
Namun MOM berkata, majikan tidak akan ditolak sekiranya perlu menghantar pekerja ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
"Namun begitu, kami menggalakkan majikan menangguhkan lawatan mereka kecuali ada keperluan untuk mendapatkan rawatan perubatan," tambah kementerian itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg