PEMERINTAH akan mengagihkan sokongan kewangan bernilai $9 bilion pada bulan ini untuk dimanfaatkan sektor perniagaan dan setiap isi rumah bagi membantu mereka mengharungi cabaran ketidaktentuan ekonomi yang dihadapi di tengah-tengah penularan Covid-19 sekarang.
Ini dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, semasa diwawancara di saluran radio CNA938 pada 5 petang tadi.
Semasa wawancara itu, beliau juga melahirkan harapan agar majikan dan sektor perniagaan memanfaatkan sokongan kewangan ini bagi menyelamatkan pekerjaan.
"Saya menggesa mereka (majikan dan sektor perniagaan) untuk memanfaatkan sepenuhnya pakej ini, terutamanya dalam mengekalkan pekerjaan. Mereka harus memikirkan cara lain untuk menjimatkan kos dan janganlah membuang pekerja untuk menjimatkan kos.
"Dengan sokongan yang diberikan, kita harus bekerja bersama-sama untuk mengharungi masa sukar ini. Saya benar-benar faham kesukaran yang perlu ditempuh kerana ia bergantung kepada keperluan dan permintaan dan ini menjadi cabaran kepada semua (majikan dan sektor perniagaan).
Lusa, pemerintah akan menyalurkan $600 kepada setiap warga Singapura berusia 21 tahun ke atas, bagi membolehkan rakyat negara ini menampung keperluan mereka. Wang ini akan disalurkan ke akaun bank individu sementara bagi yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima cek yang akan dikirimkan ke alamat rumah mereka.
"Saya harap ia dapat membantu, terutama sekali keluarga berpendapatan rendah, dan bagi sekumpulan kecil individu yang tidak mempunyai akaun bank, sekiranya kita tidak ada butiran bank mereka, kami akan mengirimkan cek menerusi pos."
Dalam kenyataannya semalam, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan pembayaran ini adalah bantuan untuk isi rumah semasa penularan Covid-19 dengan 90 peratus penerima bakal menerima Bayaran Kesepakatan sebanyak $600 menerusi akaun bank pada Selasa ini (14 Apr).
Para penerima ini termasuk mereka yang pernah menerima pembayaran tunai seperti SG Bonus pada 2018, atau Baucar GST - Tunai (Bayaran Dwiabad) pada tahun lalu, sekiranya layak.
Bagi kira-kira 10 peratus warga tempatan yang tidak mempunyai akaun bank, MOF memohon agar mereka memberi butiran akaun bank menerusi borang khas dalam talian Gov.sg yang disediakan di laman https://go.gov.sg/spsc pada atau sebelum 23 April ini. Akses ke laman ini memerlukan katakunci SingPass.
Menurut MOF, kumpulan ini akan menerima Pembayaran Kesepakatan di akaun bank mereka pada 28 April.
"Dengan menyediakan butiran akaun bank mereka, mereka akan menerima pembayaran lebih cepat dan selamat, tanpa perlu meninggalkan rumah pada masa ini.
Warga dewasa Singapura yang tidak memberikan butiran akaun bank pada 23 April akan menerima cek Pembayaran Kesepakatan yang akan dihantar ke alamat yang tertera di kad pengenalan mereka secara bertahap-tahap mulai 30 April ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg