Topic followed successfully
Go to BHkuPemerintah akan terus bantu penduduk flat sewa miliki rumah sendiri: Faishal
Pemerintah akan terus bantu penduduk flat sewa miliki rumah sendiri: Faishal
Pemerintah akan terus bantu penduduk flat sewa miliki rumah sendiri: Faishal
AGENSI sosial serta rakan kongsi masyarakat akan sentiasa berusaha untuk memperkasa keluarga yang tinggal di flat sewa dan menyokong mereka dalam usaha mereka memiliki rumah sendiri.
Bagi keluarga yang tinggal di flat sewa, memiliki rumah sendiri merupakan satu perjalanan yang mengambil masa, namun pemerintah akan terus menyokong keluarga ini agar mereka menjadi stabil dan berdikari.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata demikian dalam satu sesi dialog anjuran Berita Harian kelmarin.
"Landskap perumahan kian berubah dan kami akan cuba memenuhi aspirasi mereka untuk memiliki rumah sendiri melalui fasa yang berbeza dalam kehidupan mereka.
"Pemerintah akan memberi mereka sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka berintegrasi demi memiliki flat Bina Ikut Tempahan (BTO) atau flat jualan semula," katanya.
Dalam dialog bersama 10 ejen hartanah, peserta telah diajak berbincang tentang pelbagai cabaran yang dihadapi ejen di pasaran hartanah sekarang.
Dr Muhammad Faishal turut memuji ejen hartanah yang turut membantu keluarga Melayu untuk berpindah keluar dari flat sewa satu bilik dan dua bilik memiliki rumah mereka sendiri.
Beliau akui landskap perumahan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan masyarakat mengikut peredaran masa.
"Kami menghargai ejen hartanah perumahan yang mengatasi dan membantu keperluan perumahan rakyat Singapura.
"Perumahan adalah penting untuk rakyat Singapura dan kami mengambil berat atas isu ini," tambah Dr Muhammad Faishal.
Sesi dialog itu turut mengupas pendapat mereka tentang Sistem Penilaian Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Ia juga mengetengahkan trend perubahan masyarakat seiring dengan perkembangan zaman yang mempengaruhi dasar perumahan di Singapura.
Antara yang disentuh dalam dialog itu termasuk isu golongan bujang yang ingin memiliki rumah sendiri tetapi dihadkan disebabkan usia mereka yang belum mencecah 35 tahun ke atas.
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin, yang turut hadir, berkata:
"Sebagai contoh, jika kita menurunkan had umur dari 35 tahun untuk memiliki rumah, ia akan ada tindak balas berantai.
"Mereka yang bujang akan berpindah dan lebih mudah untuk melepaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka yang juga semakin tua."
Menurut Cik Nadia, profil keluarga yang dibantu juga pelbagai dan mereka berada di tahap kemajuan yang berlainan.
Cik Nadia berkata ada yang berdepan dengan cabaran lain seperti cabaran pekerjaan, isu-isu keluarga dan kesihatan.
"Kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi untuk memanfaatkan skim-skim pemerintah ,'' kata Cik Nadia.
Antara peserta, Pengarah Divisyen ERA Realty Network, Cik Nona Kirana, berkata sesi dialog itu memberi peluang kepada ejen hartanah untuk memberi maklum balas tentang keadaan yang sebenar berkaitan dengan isu perumahan dalam masyarakat kita.
"Profesor Faishal mengambil keprihatinan kami dengan serius dan ini memberi sedikit rasa lega kerana ia bermaksud pemerintah ambil berat tentang pelbagai masalah perumahan serta cabaran yang kami ejen hartanah hadapi dalam usaha kami membantu pelanggan," kata beliau.
Peserta lain termasuk pasangan ejen hartanah suami isteri, Pengarah Bahagian Bersekutu Singapore Realtors Inc (SRI), Encik Khairil Khirudin, dan Pengarah Bahagian Bersekutu Singapore Realtors Inc (SRI), Cik Siti Suriani Haron.
"Kami berharap untuk melihat lebih banyak fleksibiliti dan pilihan perumahan pada masa akan datang di mana kebanyakan rakyat Singapura boleh memiliki rumah mereka dan seiring dengan perkembangan generasi kini," kata Cik Siti Suriani.
Encik Khairil pula berharap lebih banyak sesi perbincangan diadakan untuk melihat perkembangan landskap perumahan dan memperhalusi dasar rumah supaya ia lebih berkesan.
"Landskap perumahan kian berubah dan kami akan cuba memenuhi aspirasi mereka untuk memiliki rumah sendiri melalui fasa yang berbeza dalam kehidupan mereka.
Pemerintah akan memberi mereka sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka berintegrasi demi memiliki flat Bina Ikut Tempahan (BTO) atau flat jualan semula." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

