Pemerintah akan campur tangan dan berhak menamatkan pembiayaan kepada SPH Media Trust (SMT) sekiranya salah laku atau salah pengurusan ke atas dana awam serta salah laku serius dikesan pada masa hadapan.
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, memberitahu Parlimen pada Khamis bahawa bahagian pertama pembiayaan kepada SMT telah diagih pada Mac.
Beliau berkata perkara ini dilakukan menyusuli urutan kejadian yang dinyatakan dalam laporan berhubung siasatan yang menunjukkan SPH telah menyatakan angka edaran berlebihan. Pendanaan awam tidak terbabit dalam kejadian itu.
Cik Teo memberikan respons kepada enam Anggota Parlimen (AP) dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, yang memfailkan soalan mengenai SMT menyusuli satu laporan oleh jawatankuasa audit dan risiko SPH Media yang diterbitkan pada 21 Jun.
Ia antara lain mendapati bahawa Singapore Press Holdings (SPH) telah melaporkan angka edaran harian yang berlebihan.
Cik Teo berkata pemerintah akan campur tangan sekiranya ada salah laku atau salah pengurusan dana awam.
“Dalam hal ini, kami telah membangunkan perlindungan yang membenarkan pemerintah menjalankan auditnya sendiri secara rambang.
“Sekiranya salah laku serius dikesan, kami berhak tamatkan pembiayaan.”
Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) juga akan menyemak terma perjanjian pembiayaan, termasuk penunjuk prestasi utama (KPI) dan jumlah pembiayaan semasa di pertengahan tempoh pendanaan, tambahnya.
Hasil dapatan oleh jawatankuasa SPH Media mendapati beberapa perkara yang mungkin ada kaitan dengan jenayah. Satu laporan polis telah dibuat.
Laporan jawatankuasa itu juga menyenaraikan cara SPH Media akan memperbaiki kawalan dalamannya serta mempertingkat pengurusan risikonya.
Ini termasuk mendapatkan pihak luar untuk meninjau tadbir urus, kawalan dan pematuhannya.
Pada Khamis, Cik Teo berkata bahawa MCI komited untuk bekerjasama dengan SMT untuk mengatasi cabaran yang berpunca daripada amalan membaca yang beralih kepada dalam talian dan berjaya dalam perancangan peralihannya.
Pemerintah akan terus membiayai SMT jumlah yang telah ditetapkan, tambahnya.
Pada Februari 2022, Cik Teo memberitahu Parlimen bahawa SMT akan mendapatkan pembiayaan pemerintah sehingga $180 juta setiap tahun sepanjang lima tahun akan datang.
Menyentuh tentang akhbar vernakular yang mempunyai jumlah pembaca yang lebih rendah, Cik Teo berkata cabaran lebih besar untuk menambah pendapatan langganan.
“Namun adalah penting untuk mengekalkan mereka.
“Mereka adalah bahagian penting dalam masyarakat berbilang budaya dan identiti unik, serta memberikan suara kepada masyarakat etnik kami,” katanya.
Cik Teo berkata meskipun banyak sumber berita yang boleh diperolehi dengan mudah, ramai di Singapura yang beralih kepada media aliran biasa apabila mereka perlukan sesuatu yang boleh dipercayai.
Beliau memetik Laporan Berita Digital 2023 oleh Institut Kajian Kewartawanan Reuters, yang menyatakan bahawa tahap kepercayaan dalam semua tajuk utama kekal tinggi berbanding kadar sejagat dengan 73 peratus daripada kesemua responden melahirkan kepercayaan kepada akhbar The Straits Times.
Ini naik kepada tiga peratusan mata mulai 2022.
Ini di sebalik kepercayaan yang merosot terhadap berita di serata dunia, daripada 42 peratus pada 2022 kepada 40 peratus pada 2023.
“Media berita dipercayai yang lahir hasil kewartawanan berkualiti adalah baik untuk awam dan tidak boleh diabaikan. Ia kian penting apabila sekitaran kini penuh dengan salah maklumat dan berita sensasi,” kata Cik Teo.
“
“Dalam hal ini, kami telah membangunkan perlindungan yang membenarkan pemerintah menjalankan auditnya sendiri secara rambang. Sekiranya salah laku serius dikesan, kami berhak tamatkan pembiayaan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg