PEMERINTAH akan terus melakukan segala yang perlu bagi menyokong rakyat, terutamanya keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, dalam mengharungi cabaran ekonomi.
Sokongan ini termasuk bayaran tunai, rebat U-Save, rebat Penyenggaraan dan Perkhidmatan (S&CC), baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan tokokan MediSave.
Memberi contoh, untuk tahun fiskal ini sahaja keluarga berpendapatan sederhana dengan dua anak kecil yang tinggal di flat empat bilik, boleh menjangkakan tambahan $2,200 dalam sokongan yang diberikan. Keluarga bergaji rendah di flat tiga bilik pula boleh mendapat sokongan lebih banyak lagi, sekitar $3,700. "Ini tidak boleh menampung sepenuhnya peningkatan kos, tetapi akan membantu meringankan beberapa bebanan oleh isi rumah Singapura," kata Encik Lee.
Sekiranya keadaan bertambah buruk, pemerintah bersedia melakukan lebih lagi, jamin perdana menteri. Menyorot keadaan ekonomi sekarang, Encik Lee Hsien Loong berkata: "Hakikat asasnya keadaan ekonomi antarabangsa telah berubah dengan besarnya. Ia bukan hanya disebabkan pandemik atau perang di Ukraine. "Dekad kebelakangan ini adalah tempoh yang luar biasa. Globalisasi berlaku sepenuhnya, perdagangan antarabangsa tumbuh pesat. "Ekonomi China tumbuh dengan sungguh pantas, dan mengeksport lebih banyak barangan dengan harga yang sangat bersaing kepada dunia. "Ini menurunkan kos banyak produk, dan menjadikan harga di serata dunia sangat stabil. Era ini telah pun berlalu," ujarnya. Tambahnya, pertumbuhan ekonomi dan eksport lembab China, selain peningkatan tarif antara Amerika Syarikat dan China serta isu rantaian bekalan telah menjadikan kos meningkat dan ini menjolak inflasi di mana-mana, termasuk Singapura. "Kita punya pengaruh yang sedikit terhadap gambaran inflasi global ini," terang Encik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg