Pemerintah akan terus menyokong pemupukan keupayaan dwibahasa, serta bekerjasama dengan semua kaum untuk mewariskan budaya tradisional.
Demikian kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa berucap dalam bahasa Mandarin di Rapat Hari Kebangsaan pertama beliau di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, pada 18 Ogos.
Encik Wong berkata Singapura berjaya mengekalkan daya saingnya yang unik selama ini kerana Republik ini mempunyai kelebihan dalam dwibahasa dan dwibudaya, yang membolehkannya berhubung dengan negara lain.
“Walaupun bahasa Inggeris adalah bahasa kerja kita, kita pada asasnya merupakan masyarakat Asia, bukan masyarakat Barat.
“Kita mahu mengekalkan warisan Asia kita dan mengekalkan nilai tradisi kita,” kata beliau.
Encik Wong juga berkata pemerintah akan menyesuaikan dasar-dasarnya dalam usahanya menggalak dan memudahkan pelajar mempelajari bahasa ibunda pada peringkat tinggi.
Pada masa ini, pelajar perlu mendapat markah keseluruhan lapan atau lebih baik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) untuk mempelajari bahasa ibunda mereka pada peringkat lebih tinggi di sekolah menengah.
Jika mempunyai skor keseluruhan PSLE sembilan hingga 14, murid mesti mencapai skor AL1 atau AL2 dalam bahasa ibundanya, atau gred kepujian atau merit dalam bahasa ibunda lebih tinggi dalam PSLE.
Murid darjah tiga dan empat sekarang boleh mempelajari Bahasa Cina Lanjutan di beberapa sekolah yang bukan dalam Rancangan Bantuan Khas.
Encik Wong berkata ialah telah menyebabkan peningkatan dalam bilangan pelajar sekolah rendah yang mengambil mata pelajaran itu.
Sejak 2022, Kementerian Pendidikan (MOE) juga telah menawarkan Bahasa Melayu Lanjutan dan Bahasa Tamil Lanjutan kepada murid darjah tiga. Ia kemudian mengembangkannya kepada murid darjah empat pada 2023.
“Saya percaya bahawa selagi kita bekerjasama, budaya kita boleh turun-temurun kepada generasi akan datang, walaupun ia menjadi lebih bersemangat dan pelbagai,” kata Encik Wong.
Beliau berkata meskipun pelbagai kaum di Singapura mempunyai semangat budaya mereka sendiri, Republik ini kekal inklusif dan bersatu.
“Selagi kita mengekalkan semangat ini, kita boleh mengatasi sebarang kesukaran atau cabaran yang mendatang.
“Melangkah ke hadapan secara bersatu, kita akan membina sebuah negara yang lebih dinamik dan Singapura yang lebih baik bersama,” ujar Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg