Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah mungkin diberi kuasa turunkan kandungan dalam talian, aplikasi dianggap jenayah

May 9, 2023 | 5:30 AM
ebe84eba-c14c-4591-bb12-d745e8786c16
-

DALAM usaha menangani jenayah siber seperti penipuan dan penyebaran imej voyeuristik, pemerintah mungkin diberi kuasa untuk menurunkan kandungan dalam talian, seperti aplikasi, yang dianggap jenayah.

Pada Isnin, Rang Undang-Undang Bahaya Jenayah Dalam Talian telah dibentangkan di Parlimen.

Sekiranya diluluskan, Rang Undang-Undang itu akan membenarkan pemerintah untuk memberitahu individu, pertubuhan, penyedia khidmat Internet dan dalam talian, serta 'kedai' aplikasi, untuk menurunkan atau melarang akses kepada kandungan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah.

Arahan tersebut akan dilaksanakan kepada kesalahan jenayah dalam Rang Undang-Undang tersebut, termasuk yang menjejas keselamatan nasional, keharmonian kaum dan agama, serta keselamatan individu.

Kesalahan lain dalam Rang Undang-Undang itu termasuk hasutan keganasan, penyebaran bahan penderaan seksual, pinjaman wang haram dan kesalahan berkaitan dengan bahan-bahan psikoaktif serta dadah terkawal.

Secara keseluruhannya, sebanyak lima jenis arahan pemerintah mungkin dikeluarkan.

Yang pertama adalah Arahan Henti Komunikasi, yang memerlukan individu atau pertubuhan yang pertama kali mencatatkan kandungan dalam talian jenayah itu untuk menurunkan catatan agar ia tidak boleh diakses di Singapura.

Satu Arahan Melumpuhkan memerlukan penyedia khidmat dalam talian untuk melumpuhkan akses kepada satu kandungan tertentu, seperti catatan atau satu muka surat, pada laman mereka untuk mencegah mereka di Singapura daripada menontonnya.

Seperti contoh penyedia khidmat dalam talian termasuk Facebook, TikTok, WhatsApp dan WeChat.

Apabila Arahan Sekatan Akaun dikeluarkan, penyedia dalam talian mesti hentikan satu akaun dalam perkhidmatan mereka daripada berkomunikasi di Singapura dan berinteraksi dengan orang ramai di sini.

Satu Arahan Halangan Akses memerlukan penyedia khidmat Internet untuk menghalang mereka di Singapura daripada mengakses laman tersebut.

Satu Arahan Menurunkan Aplikasi kepada kedai aplikasi untuk menurunkan satu aplikasi daripada kedai di Singapura untuk mencegah orang ramai di sini daripada memuat turunnya.

Penerima arahan pemerintah dan yang menjadi sasaran oleh arahan tersebut boleh memohon kepada satu tribunal semakan untuk mengubah atau membatalkan keputusan itu.

Tribunal semakan itu akan terdiri daripada seorang hakim tribunal atau majistret yang dilantik Presiden atas nasihat Kabinet.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg