Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah pelbagai bekalan tenaga agar stabil, dipercaya

Jan 6, 2021 | 5:30 AM
ENCIK SAKTIANDI SUPAAT
ENCIK SAKTIANDI SUPAAT -

PERMINTAAN elektrik dijangka kembali meningkat sedang ekonomi Singapura beransur pulih daripada pandemik Covid-19, kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng semalam.

Menurut Dr Tan, permintaan elektrik dijangka merosot sebanyak 2 hingga 4 peratus pada tahun lalu disebabkan pandemik itu.

Namun begitu, dalam memulihkan keadaan, beliau berkata pemerintah kini berusaha untuk mempelbagaikan bekalan tenaga negara ini agar ia kekal stabil dan dipercayai.

"Kami akan memanfaatkan empat suis untuk mengubah dan mempelbagaikan bekalan tenaga kami dalam usaha mencapai visi menjadikan bekalan tenaga masa depan yang lebih bersih dan cekap," kata beliau ketika menjawab beberapa pertanyaan di Parlimen termasuk daripada Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).

Empat suis itu merangkumi gas semula jadi, tenaga suria, grid kuasa serantau dan tenaga alternatif yang rendah karbon seperti hidrogen.

Buat masa ini, sebanyak 95 peratus bekalan elektrik Singapura dihasilkan menerusi gas semula jadi dan Dr Tan berkata kaedah itu akan terus menjadi sumber tenaga utama di negara ini dalam jangka masa sederhana, memandangkan Singapura tidak mempunyai akses kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga air atau angin.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa Singapura kini dalam peralihan secara berperingkat untuk memanfaatkan gas asli sebagai rancangan jangka masa panjang.

Memberi perincian lanjut, Dr Tan berkata tenaga solar merupakan sumber tenaga yang mudah didapati di negara ini sambil memberi contoh bagaimana jumlah pemasangan tenaga suria telah meningkat lebih daripada 100 kali ganda sejak sedekad lalu - daripada 3.8 megawatt-puncak (MWp) pada 2010 kepada sekitar 400 MWp pada pertengahan tahun lalu.

"Kami sedang mempercepat usaha ini dan kami akan melipatgandakan kapasiti tenaga suria kami hingga dapat menjana 1.5 puncak gigawatt (GWp) pada 2025, dan seterusnya 2 GWp pada 2030," tambah beliau yang turut berkata tenaga suria mampu membekalkan sekitar 3 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik negara menjelang 2030.

Selain memanfaatkan tenaga suria, Dr Tan berkata Singapura juga mempunyai pilihan untuk memanfaatkan jaringan elektrik serantau yang akan membolehkan negara ini mengakses sumber tenaga yang boleh diperbaharui dari negara jiran.

Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa negara ini hanya ingin mengimport bekalan elektrik dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

"Oleh itu, kebersihan sumber penjanaan itu akan menjadi pertimbangan utama dalam memilih pengimport," katanya.

Menjawab pertanyaan Encik Saktiadi mengenai maklumat lanjut tentang rancangan Projek Sun Cable, yang mampu membekalkan tenaga suria dari utara Australia ke Singapura melalui kabel voltan berkuasa tinggi yang dipasang menerusi rangkaian di dasar laut, Dr Tan berkata perbincangan masih berlangsung dan perincian lanjut belum lagi dapat dikongsikan buat masa ini.

Beliau berkata: "Meskipun kami mengalu-alukannya, kami perlu mengambil langkah demi langkah untuk memastikan ia tidak menjejas kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kestabilan pasaran elektrik kami."

"Kami akan memanfaatkan empat suis untuk mengubah dan mempelbagaikan bekalan tenaga kami dalam usaha mencapai visi menjadikan bekalan tenaga masa depan yang lebih bersih dan cekap." - Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, merujuk kepada empat suis iaitu gas semula jadi, tenaga suria, grid kuasa serantau dan tenaga alternatif rendah karbon seperti hidrogen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg