KHIDMAT alih susunan audio pertuturan kepada teks bagi prosiding kehakiman dan sistem pengurusan kemudahan (FM) bijak bagi membantu sekolah perbaiki kecekapan tenaga dan air merupakan antara projek di masa depan di bawah rancangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pemerintah tahun ini.

Prosiding kehakiman kini dialih susun secara manual oleh pengendali manusia dan satu khidmat audio berpotensi melengkapi kerja pengalih susunan, kata Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) dalam satu kenyataan semalam.

GovTech berkata usaha melaksanakan sistem FM bijak di semua sekolah akan membolehkan pemantauan penggunaan utiliti, meningkatkan daya penghasilan buruh dengan mengautomasikan beberapa proses selain memudahkan pengumpulan data bagi perbaiki penyelenggaraan.

GovTech mengumumkan rancangan perbelanjaan ICTnya semalam sewaktu taklimat industri yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City, lapor The Straits Times.

Lebih 300 wakil industri menghadiri taklimat itu, yang diadakan secara tahunan untuk berkongsi peluang-peluang perniagaan akan datang bersama industri.

Secara keseluruhan, perbelanjaan ICT pemerintah tahun ini dianggarkan berjumlah sehingga $3.8 bilion, jumlah yang sama dibelanjakan tahun lalu.

Sepanjang empat tahun lalu, pemerintah membelanjakan kira-kira $12.6 bilion bagi ICT.

Pelaburan bagi projek yang menggunakan teknologi yang baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sesor Internet of Things (IoT) dan sains data naik seganda dari $0.79 bilion tahun lalu ke $2 bilion tahun ini.

Ini sedang pemerintah bergerak ke arah memanfaatkan potensi teknologi sebegitu dengan lebih baik.

Ini merangkumi sebahagian besar daripada jumlah $2.6 bilion yang pemerintah rancang belanjakan bagi pembangunan aplikasi, termasuk membina aplikasi baru dan menaik taraf aplikasi sedia ada.

Tambahan $1 bilion akan dibelanjakan untuk membangun lebih banyak sistem bagi infastruktur awan.

Berucap di acara tersebut, ketua eksekutif GovTech, Encik Kok Ping Soon, berkata satu contoh adalah bagaimana mengadakan aplikasi di awan telah membantu apabila Covid-19 memaksa sekolah beralih ke pembelajaran dari rumah.

Ruang pembelajaran pelajar diadakan di wadah awan komersial dan membolehkan kira-kira 300,000 pelajar memanfaat wadah tersebut pada masa yang sama.

Huraian berhubung dengan pandemik lain juga dikendalikan di awan.

Encik Kok berkata lebih 800 sistem pemerintah, atau kira-kira 55 peratus daripada semua sistem pemerintah yang layak, sudahpun diadakan di khidmat Awan Komersial Pemerintah (GCC), wadah yang membolehkan agensi pemerintah untuk menggunakan huraian awan sedia ada secara komersial untuk perkhidmatan mereka.

Beliau menambah bahawa Singapura sedang berada di landasan untuk mempunyai 70 peratus sistem pemerintah yang layak berada di awan menjelang tahun depan.