PEMERINTAH memerhatikan dengan teliti, beban cukai yang ditanggung penduduk, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Beliau mengulangi komitmen pemerintah dalam membina sebuah masyarakat yang adil dan inklusif, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
Encik Lee juga berkata Belanjawan itu bukan sahaja bagi memenuhi keperluan semasa, namun juga adalah untuk menjaga generasi masa depan.
"Selain langkah sokongan yang diumumkan, pemerintah memerhatikan dengan teliti beban cukai kami secara keseluruhan," katanya dalam satu catatan media sosial pada malam Jumaat.
Beliau menjelaskan rakyat Singapura membayar cukai lebih rendah berbanding ekonomi maju lain dan semua orang memainkan peranan dalam membina Singapura.
"Yang lebih mampu boleh menyumbang lebih, manakala mereka yang lebih memerlukan akan menerima lebih manfaat," tulisnya dalam catatan tersebut.
"Untuk mempertingkat kehidupan kami, kami perlu mengembangkan ekonomi kami dan kekal kompetitif," tegasnya sambil menambah bahawa Singapura telah meneruskan usaha transformasi bagi industri-industri tempatan meskipun ditimpa pandemik.
"Pekerja kami perlu terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka agar dapat meraih pekerjaan dan peluang lebih baik," katanya.
Selain isu cukai, Encik Lee juga menyentuh beberapa isu tertentu yang dibahaskan di Parlimen sejak awal minggu ini.
Encik Lee berkata kos sara hidup merupakan satu keprihatinan utama bagi ramai penduduk dan pemerintah sedar dan fahami kebimbangan semua.
Beliau menambah Belanjawan membantu ramai warga Singapura menangani inflasi, terutamanya mereka yang memerlukan lebih bantuan.
Perumahan juga satu topik hangat, katanya dan pemerintah kekal komited menyediakan perumahan mudah diakses dan berpatutan bagi semua warga Singapura.
Ini termasuk memperluas bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) agar dapat memenuhi bekalan yang ditangguh semasa pandemik serta langkah untuk mengawal harga dan permintaan rumah jual semula.
"Namun kami tidak harus mengambil langkah terburu-buru yang berupaya merosakkan pasaran hartanah," kata Encik Lee.
"Belanjawan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga untuk menjaga generasi masa depan.
"Secara kolektif, kami harus merancang dan menyediakan bagi anak, cucu kami," katanya.
"Saya harap kami dapat bekerjasama sebagai satu rakyat dan menyokong pemerintah untuk memajukan Singapura bagi tahun-tahun mendatang."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg