Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah terima semua usulan panel pakar tentang PMD di laluan dikongsi, bakal dilaksana tahun depan
Pemerintah terima semua usulan panel pakar tentang PMD di laluan dikongsi, bakal dilaksana tahun depan
Pemerintah terima semua usulan panel pakar tentang PMD di laluan dikongsi, bakal dilaksana tahun depan
PEMERINTAH telah menerima semua usulan yang diberikan oleh panel pakar tentang penggunaan laluan pejalan kaki dan akan melaksanakannya awal tahun depan, kata Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataannya semalam.
Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) telah memberikan beberapa usulan bagi menambah tahap keselamatan di laluan pejalan kaki, termasuk yang dikongsi dengan pengguna Alat Mobiliti Peribadi (PMD).
Menulis di laman Facebook, pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) Profesor Madya Faishal Ibrahim berkata pemerintah telah menerima semua usulan panel itu, yang bertujuan menjadikan laluan pejalan kaki, laluan yang dikongsi (pengguna PMD dan penunggang basikal), serta jalan raya lebih selamat apabila menggunakan PMD.
Perkembangan ini hasil tinjauan lapan bulan yang dilakukan AMAP, yang mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan, termasuk pengguna PMD.
"Kami telah menimba banyak pengetahuan daripada pengguna aktif dan juga orang yang mempunyai rakan yang pernah cedera di laluan pejalan kaki atau laluan dikongsi. Kami berasa rendah hati, melihat ramai warga Singapura tampil untuk berkongsi idea dan pandangan masing-masing tentang mobiliti aktif," kata Dr Faishal, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).
"Dengan sokongan dan ikrar anda untuk memainkan peranan yang sewajarnya, laluan pejalan kaki dan basikal, serta jalan raya di Singapura boleh menjadi lebih selamat bagi keluarga, orang tua dan kanak-kanak."
Usulan yang diterima pemerintah termasuk mengurangkan had kelajuan PMD di laluan pejalan kaki daripada 15 kilometer sejam (kmj) kepada 10 (kmj) dan menetapkan pengguna PMD menggunakan helmet di jalan raya.
Namun, secara amali, undang-undang baru ini hanya perlu diamalkan penunggang basikal di jalan raya sahaja, kerana PMD tidak dibenarkan di jalan raya, di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA), kata panel itu sebelum ini.
Satu lagi syarat baru yang bakal dilaksanakan adalah supaya pengguna PMD dan penunggag basikal 'berhenti dan melihat' kenderaan yang muncul, di lintasan jalan.
Had kelajuan bagi kerusi roda bermotor dan skuter elektrik, atau e-skuter, juga bakal ditetapkan sebagai 10 kilometer sejam, bagi mencegah pengguna yang tidak bergantung kepada peralatan ini untuk bergerak, daripada menggunakannya untuk mengelak undang-undang baru, kata MOT.
Langkah ini juga bertujuan melindungi pengguna yang benar-benar memerlukan peralatan pengangkutan itu, kata MOT.
MOT juga berkata ia menggalakkan pengguna alat PMD, terutama syarikat penghantaran makanan untuk mendapatkan insurans tanggungan pihak ketiga bagi pekerja mereka.
Namun, ia enggan menjadikan perbuatan itu sebagai mandatori, kerana berhasrat menumpukan usaha kepada pencegahan kemalangan kata MOT. Tambahnya, pendaftaran bagi e-skuter akan dilaksanakan bermula Januari depan.
"Dengan menerima usulan ini, MOT bersetuju dengan panel bahawa keselamatan semua pengguna PMD dan pengguna lain di laluan awam adalah paling utama," kata kenyataan MOT itu.