Firma dalam portfolio syarikat pelaburan Singapura, Temasek, tidak harus takut membuat keputusan pelaburan hanya kerana bimbang tentang politik atau komen bermotif politik oleh pengkritik pemerintah, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam.

Beliau memberi amaran bahawa jika lembaga pengarah syarikat terlalu bimbang akan kecaman yang tidak berkaitan dengan pelaburan, seperti perkauman, hingga menjadi terlalu berhati-hati dan memilih jalan paling selamat, rakyat Singapura akhirnya mungkin menanggung kesannya.

Dalam satu sidang media pada 5 September, Encik Shanmugam menegaskan pemerintah tidak campur tangan dalam keputusan pelaburan individu atau memberi tekanan politik mengenai bagaimana syarikat harus melabur.

“Tugas pemerintah adalah memastikan Temasek diurus secara profesional, kemudian memberi pihak kepada pengurusan di Temasek dan syarikat portfolio Temasek, perlindungan politik serta keyakinan yang membolehkan mereka membuat keputusan komersial yang telah dipertimbangkan dengan sewajarnya, tanpa tekanan yang tidak wajar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada hantaran Facebook Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Kenneth Tiong, yang mempersoalkan pelaburan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), sebuah syarikat portfolio Temasek, dalam syarikat penerbangan Air India.

Berita tentang Air India yang memohon ekuiti baharu sebanyak AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) daripada pemegang sahamnya selepas mencatatkan rekod kerugian sebanyak AS$2 bilion pada tahun kewangan lalu, telah mencetuskan komen berbaur perkauman dalam talian di Singapura baru-baru ini.

SIA mempunyai pegangan saham 25.1 peratus dalam Air India itu, melalui pegangan terdahulunya dalam Vistara, sebuah usaha sama dengan Tata and Sons sejak 2013.

Pada 2022, selepas Tata mengambil alih Air India daripada pemerintah India, SIA dan Tata bersetuju secara rasmi untuk menggabungkan Vistara ke dalam Air India.

Menurut Encik Shanmugam, SIA adalah sebuah syarikat tersenarai dan bertanggungjawab menentukan sendiri pelaburan yang ingin dilakukannya serta menjawab kepada pemegang sahamnya.

Beliau turut menerangkan SIA, dan bukan Temasek, merupakan pemegang saham dalam Air India.

Justeru, sebarang keputusan untuk melabur dalam Air India terletak pada SIA, sementara Temasek, sebagai antara pemegang saham SIA bersama pemegang saham lain, hanya berhak mengharapkan syarikat penerbangan itu membuat keputusan pelaburannya secara bertanggungjawab.

Encik Shanmugam berkata SIA telah mengisytiharkan bahawa ia mempunyai rizab tunai melebihi $10 bilion dan kemudahan kredit belum digunakan bernilai lebih $3 bilion.

“Adalah menjadi tanggungjawab SIA untuk menilai pelaburannya dalam Air India berdasarkan sumber yang dimilikinya, dengan mengambil kira pertumbuhan dan keuntungan syarikat jangka panjang,” ujar beliau.

Mengenai Temasek pula, Encik Shanmugam berkata syarikat itu bertanggungjawab kepada pemerintah bagi portfolio secara keseluruhan dan prestasi jangka panjangnya.

Namun, menurutnya, Temasek tidak perlu menjawab kepada pemerintah mengenai setiap pelaburannya, mahupun keputusan pelaburan individu yang dibuat syarikat dalam portfolionya.

“Sebaik sahaja pemerintah atau ahli politik mula menentukan keputusan pelaburan individu, disiplin komersial akan terjejas.

“Keputusan akan dipolitikkan dan dipengaruhi oleh pertimbangan politik dan bukannya pertimbangan komersial. Akhirnya, rakyat Singapura yang akan menanggung kesannya,” katanya.

Encik Shanmugam berkata Encik Tiong berhak, seperti rakyat Singapura lain, menyuarakan pandangannya dan mengemukakan soalan mengenai SIA dan Temasek.

Namun, pandangan Encik Tiong, mana-mana menteri atau AP lain, tidak harus menggantikan pertimbangan komersial pihak pengurusan dan lembaga pengarah SIA.

Encik Shanmugam turut berkata beliau maklum mendiang Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, pernah mempersoalkan kewajaran SIA melabur dalam Air India sekitar 2000 atau 2001.

“Namun, itu berlaku 25 tahun lalu, ketika keadaan di India amat berbeza dan dalam suasana yang jauh berlainan.

“Yang penting, Encik Lee meletakkan batas pada komennya dengan menyatakan bahawa perkara itu bukan urusannya,” kongsinya.

Beliau menambah bahawa keputusan komersial ketika itu juga merupakan keputusan SIA, dan syarikat tersebut berhak menilai keadaan India hari ini sebelum membuat pertimbangan komersialnya sendiri.

Encik Shanmugam turut mengetengahkan rekod pelaburan Singapura di luar negara, dengan Temasek, GIC dan syarikat portfolio Temasek meraih pulangan daripada pelaburan sedemikian.

Namun begitu, Encik Shanmugam menegaskan bahawa kebebasan membuat keputusan komersial tidak bermakna SIA tidak perlu bertanggungjawab terhadap keputusannya.

Beliau berkata pemegang saham dan masyarakat umum berhak mengharapkan SIA bersikap telus dan bertanggungjawab serta menjalankan penilaian yang teliti sebelum wang dilaburkan, katanya.

Tambahnya, pemegang saham juga boleh mengemukakan pertanyaan kepada syarikat itu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM).