Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah tidak raih untung jual tanah negara untuk perumahan awam

Warga S'pura tidak bayar tiga kali untuk tanah negara yang diguna bagi flat HDB: Indranee
Nov 8, 2022 | 5:30 AM
AMBIL SEMULA: Dari masa ke masa, pemerintah mungkin perlu mengambil alih tanah contohnya seperti blok HDB di Ang Mo Kio Avenue 3 yang dipilih untuk menjalani Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers). - Foto fail
AMBIL SEMULA: Dari masa ke masa, pemerintah mungkin perlu mengambil alih tanah contohnya seperti blok HDB di Ang Mo Kio Avenue 3 yang dipilih untuk menjalani Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers). - Foto fail -

PEMERINTAH tidak meraih keuntungan daripada penjualan tanah negara yang dibangunkan menjadi perumahan awam, kata Menteri Kedua (Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, di Parlimen semalam.

Beliau juga berkata warga Singapura tidak membayar tiga kali lebih tinggi bagi tanah negara yang digunakan untuk perumahan awam.

Malah warga membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada potongan harga berbanding nilai pasaran yang adil.

Pembeli flat kali pertama yang layak pula dapat menikmati Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG).

Cik Indranee berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, mengenai sama ada warga Singapura membuat bayaran tiga kali bagi penggunaan tanah negara yang dibangunkan menjadi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Menurut Cik Indranee, dari masa ke masa, pemerintah mungkin perlu mengambil alih tanah secara paksa untuk perumahan awam.

Dalam keadaan ini, pemerintah akan memperoleh tanah dan memberi pampasan kepada pemilik tanah untuk nilainya.

Sejak 2007, pampasan adalah berdasarkan nilai pasaran yang adil. Pampasan ini mungkin dibiayai rizab lalu atau pendapatan pemerintah.

Pemerolehan tanah melalui Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers), misalnya, dibiayai oleh rizab lalu, kata Cik Indranee.

HDB kemudian membeli tanah itu daripada pemerintah dan membayar nilai pasaran yang adil untuknya, sama seperti pembeli tanah negara lain.

Ini supaya terdapat aset kewangan yang sepadan untuk menggantikan aset fizikal, dan terdapat hasil penjualan tanah untuk dilaburkan dan menjana pulangan untuk digunakan dalam bentuk Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC), jelas Cik Indranee.

"Menghendaki HDB untuk membayar nilai pasaran yang adil untuk kos tanah dengan itu mengekalkan nilai rizab lalu kita demi manfaat semua warga Singapura, pada masa kini dan masa akan datang," kata Cik Indranee.

Urus niaga ketiga berlaku apabila HDB menjual flat kepada warga Singapura.

HDB melakukan ini pada potongan harga berbanding nilai pasaran yang adil untuk memastikan harga flat kekal dimampui dan pemerintah juga memberi geran kepada pemohon yang layak untuk membeli flat pada harga lebih rendah daripada yang diletakkan oleh HDB, kata Cik Indranee.

Dengan geran dan subsidi itu, harga jualan HDB biasanya lebih rendah daripada jumlah kos pembangunan, yang menyebabkan kekurangan pendapatan.

"Kekurangan ini dilindungi oleh geran kepada HDB yang dibiayai oleh NIRC dan cukai yang dibayar bukan sahaja oleh warga Singapura malah oleh PR (penduduk tetap), warga asing yang bekerja dan tinggal di Singapura, pelancong dan syarikat serta entiti pembayar cukai lain," kata Cik Indranee.

Menjawab satu lagi pertanyaan oleh Encik Leong mengenai sama ada rizab meningkat apabila tanah negara dijual berulang kali, Cik Indranee berkata tidak ada peningkatan bersih dalam rizab apabila tanah itu, sebuah aset fizikal, dijual buat kali pertama dan hasil penjualan dipindahkan kepada aset kewangan kerana ia sekadar peralihan daripada satu bentuk aset kepada bentuk lain.

Rizab tidak bertambah apabila tanah itu dikembalikan kepada negara selepas pajakannya tamat.

Rizab juga tidak bertambah apabila tanah itu kemudian dijual semula kerana ia juga sekadar peralihan daripada satu bentuk aset kepada bentuk lain.

Peningkatan rizab bagaimanapun berlaku apabila pemerintah melabur dan mengembangkan aset kewangan itu, kata Cik Indranee.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), pula meminta perincian jumlah kos pembangunan bagi semua flat HDB baru dan nilai dolar subsidi yang digunakan untuk harga pasaran yang dinilai bagi flat-flat baru itu.

Beliau telah merujuk kepada arahan pembetulan baru-baru ini yang dikeluarkan di bawah undang-undang berita palsu mengenai defisit HDB dan rizab lalu Singapura.

Menjawab soalannya, Cik Indranee berkata kos pembangunan terdiri daripada kos tanah dan kos pembinaan, dan lokasi berbeza mempunyai harga dan subsidi berlainan.

Memberi perincian jumlah kos pembangunan semua flat BTO baru mulai sekarang adalah "tidak membantu atau bermakna" untuk pembeli, tambahnya.

"Adakah kami perlu memberikan jumlah kos pembangunan? Kami tidak fikir apa-apa akan dicapai dengan berbuat demikian. Sebabnya ialah ini - apakah perkara yang penting kepada warga Singapura? Perkara yang paling penting ialah, adakah anda mampu membeli sebuah flat?" kata Cik Indranee.

"Adalah tidak bermakna (untuk memberikan perincian) kerana anda hanya akan membandingkan yang ini dengan yang lain. Harga di satu kawasan mungkin tidak sama dengan yang lain," tambahnya.

Encik Pritam kemudian menyebut model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) sebagai satu sebab mengapa penerbitan terperinci mengenai subsidi HDB adalah wajar.

Bilangan subsidi yang digunakan untuk tujuan pemilikan rumah juga boleh diteliti dan dijejaki jika nilai dolar subsidi itu diterbitkan, tambahnya, terutama memandangkan harga BTO telah dinyahpautkan daripada pasaran jualan semula HDB sejak 2011.

"Dengan harga flat jualan semula mencecah paras tertinggi hari ini dan dengan itu menaikkan harga pasaran tanah, meningkatkan saiz subsidi... akan kelihatan sebagai cara utama di mana harga BTO dapat dipastikan berpatutan. Apakah yang menghalang HDB daripada menerbitkan nilai dolar subsidi HDB untuk flat BTO baru?" kata Encik Pritam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg