PEMERINTAH akan menimbangkan dengan serius saranan para pemimpin industri untuk menetapkan had pengeluaran gas formaldehid pada produk bangunan dan perhiasan rumah, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semalam.
Bahan pencemar yang biasanya didapati dalam produk sedemikian mengeluarkan zarah yang berbahaya kepada kesihatan jika terdedah pada tahap yang tinggi.
Ia boleh mengakibatkan kanser selepas tempoh masa yang lama.
Cik Fu berkata demikian di pelancaran rasmi "Garis Panduan Industri untuk Udara dalam Bangunan yang Berkualiti" ketika beliau melawat C&W Services pagi semalam.
Garis panduan itu sebahagian daripada usaha Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi Ruang-Ruang Mampan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya mempunyai udara dalam bangunan yang berkualiti.
Garis panduan itu telah dibangunkan setelah rundingan bersama pihak berkepentingan dalam industri itu dan dimulakan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Majlis Industri Perabot Singapura (SFIC) dan Majlis Bangunan Hijau Singapura pada November 2021.
Garis panduan itu memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan yang harus dipertimbangkan oleh syarikat seperti mengamalkan had pengeluaran bagi produk dan perabot dalam bangunan serta mengamalkan satu standard di Singapura bagi mutu udara dalam bangunan yang baik.
Panduan itu juga menyarankan pensijilan sebagai sokongan terhadap usaha syarikat yang mengekalkan mutu udara dalam bangunan, melaksanakan garis panduan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta memantau kualiti udara dalam bangunan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi.
Garis panduan itu datangnya setelah melihat bagaimana penularan Covid-19 berlaku akibat pengudaraan yang lemah dan kualiti udara yang buruk.
Ini telah menyebabkan pihak pemerintah dan banyak perniagaan mengambil langkah menangani isu tersebut.
Cik Fu berkata: "Melalui pengalaman Covid-19, kami menyedari cara menangani pengudaraan, apakah jarak yang betul dan apakah kadar pertukaran udara yang betul?"
Bagi Ahli Majlis Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Ernie Koh, garis panduan untuk industri itu adalah usaha yang dimulakan oleh industri untuk industri.
"Mutu udara yang baik dalam bangunan penting untuk kesihatan dan kesejahteraan kita, memandangkan kita menghabiskan lebih 90 peratus masa kita dalam rumah.
"Melalui pembangunan garis panduan ini, pihak AfA berharap ia dapat memaparkan amalan yang baik bagi mutu udara dalam bangunan yang baik, dan pada masa yang sama, memberi lebih perhatian kepada banyak produk dan tawaran yang mampan oleh syarikat-syarikat tempatan," ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg