Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah tingkat usaha pemuliharaan ruang marin, Kepulauan Selatan
Akan labur $25j tangani kesan perubahan iklim ke atas ekosistem marin S'pura
Pemerintah tingkat usaha pemuliharaan ruang marin, Kepulauan Selatan
PEMERINTAH akan melabur $25 juta untuk membangunkan penyelesaian bagi menangani kesan perubahan iklim ke atas ekosistem marin Singapura dan merintis pemusatan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), termasuk bagi kawasan pantai dan marin.
Demikian kenyataan yang diberi oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semasa menjawab usul penangguhan yang difailkan oleh Anggota Parlimen (AP) Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) dan Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) di Parlimen pada Isnin.
Encik Ng dan Cik Nadia telah menggesa pemerintah untuk mempertingkatkan usaha melindung ruang marin dan pengurusan Kepulauan Selatan dengan lebih baik.
Dalam ucapannya, Encik Lee menekankan bahawa sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura sentiasa perlu mengimbangi pemuliharaan alam semula jadi dengan keperluan pembangunan.
Encik Ng telah menekankan kepentingan kepelbagaian biologi yang kaya bagi ekosistem marin Singapura dan peranannya dalam memerangi perubahan iklim; dan menyeru pemerintah untuk melindunginya.
Encik Ng juga telah menyeru pemerintah untuk mempelajari lebih mendalam tentang ruang marin Singapura dengan meningkatkan dana dan bekerjasama dengan penyelidik dalam tinjauan biodiversiti marin.
Kali terakhir tinjauan biodiversiti marin dijalankan pada 2015.
Selain itu, beliau juga menggesa pemerintah untuk menetapkan lebih banyak kawasan marin sebagai rizab alam semula jadi atau taman laut.
Dalam jawapannya, Encik Lee berkongsi bahawa pemerintah komited untuk memulihara kepelbagaian biologi marin Singapura yang kaya melalui Pelan Tindakan Pemuliharaan Marin.
Pelan tersebut adalah pendekatan komprehensif berasaskan sains yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pemuliharaan Alam Semula Jadi yang lebih luas, yang menetapkan strategi pemuliharaan untuk ruang hijau dan biru.
Beliau berkata: "Dengan penggunaan alat pemodelan termaju, serta usaha seperti Tinjauan Biodiversiti Marin Komprehensif dan Tinjauan Biodiversiti Kepulauan Selatan yang lebih terkini, kami sentiasa mengemas kini dan memperdalam pangkalan pengetahuan kami.
"Ini membantu kami mengenal pasti habitat marin utama untuk perlindungan. Pada tahun 2014, kami menubuhkan Taman Laut Sisters' Islands, memandangkan fungsi ekologi yang penting di kawasan itu dan kepelbagaian kehidupan marin," tambahnya.
Encik Lee juga berkongsi beberapa contoh bagaimana pemerintah telah bekerjasama dengan pakar dari ahli akademik dan komuniti marin untuk mengkaji dan memantau biodiversiti di perairan Singapura.
"Kami juga bekerjasama rapat dengan kumpulan pelbagai pihak seperti Friends of Marine Park serta sukarelawan untuk memulihara dan mengkaji spesies penyu asli di pusat penetasan penyu di Pulau Adik Kecil.
"Selain Taman Laut, kami juga menggunakan sains dan data untuk mengutamakan spesies terancam untuk program pemulihan kami. Hari ini, usaha kami meliputi span cawan Neptune, lebih 14 spesies karang dan banyak lagi," katanya.
Encik Lee juga memberikan jaminan bahawa lebih banyak usaha akan dilakukan untuk melindungi warisan marin Singapura.
Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) baru-baru ini, pemerintah telah mengumumkan komitmennya untuk memulihkan dan meningkatkan 80 hektar habitat menjelang 2030, berbanding 30 hektar sebelum ini. Usaha ini akan merangkumi habitat pantai dan marin.