SINGAPURA sedang menjalankan misi pemetaan DNA dan set lengkap gen bagi 100,000 warga negara ini - bagi merungkai petunjuk yang dapat memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
Dengan meneliti gen dan meneroka proses biologi di peringkat molekular, para doktor dan penyelidik boleh mengetahui punca di sebalik barah dan penyakit kronik, dan mengenal pasti cara baru mencegah atau memperlahankan perkembangan penyakit.
Ini akan dapat memberi laluan kepada ubat-ubat baru, diagnostik lebih pantas dan menyasarkan rawatan menerusi perubatan terperinci, kata pengarah eksekutif Precision Health Research, Singapore (Precise), Professor Patrick Tan, yang akan memimpin kajian penduduk itu.
Sepanjang tiga tahun mendatang, seluruh 100,000 genom warga Singapura yang sihat - berusia antara 30 dengan 80 tahun - akan menjalani penjujukan dan dianalisis bagi menghasilkan salah satu data penyelidikan terbesar Singapura.
Para peserta Melayu dan India membentuk 40 peratus daripada 100,000 warga Singapura itu dan bakinya masyarakat Cina.
Projek yang diberi nama SG100K, bakal menjadi salah satu daripada pangkalan data genom panduan utama Asia memandangkan kepelbagaian etnik Singapura meliputi lebih daripada 80 peratus kepelbagaian di Asia.
Baru-baru ini, Precise dan Illumina yang merupakan teknologi genomik utama, menandatangani satu perjanjian kerjasama bagi memulakan usaha SG100K itu.
Kesemua penjujukan genom itu berjumlah 20 petabait data - yang sama dengan sekitar 200,000 filem berdefinisi tinggi.
Otak manusia boleh menyimpan sekitar 2.5 petabait memori.
Sehingga kini projek tersebut telah menarik 70,000 peserta daripada kajian kohort sedia ada dan sedang berusaha untuk menarik baki 30,000 peserta pada kadar 300 peserta setiap minggu, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang hadir di majlis menandatangani kerjasama itu Khamis lalu.
Beliau turut mengelilingi kawasan Illumina di Woodlands. Encik Heng menambah bahawa Precise mempunyai tahap keselamatan yang kukuh bagi melindungi privasi dan data yang dikumpul daripada orang ramai.
Baki 30,000 peserta akan didapatkan kebanyakannya menerusi rujukan kelompok jagaan kesihatan dan daripada mereka yang mendaftar untuk kajian kohort penduduk The Health For Life In Singapore, pimpinan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian. Di bawah projek SG100K, sampel darah para peserta akan dihantar untuk penjujukan genom menyeluruh.
Data genomik juga akan dikaitkan kepada ukuran kesihatan fizikal lain yang diambil daripada para peserta.
Ini bermakna para peserta perlu menjalani ujian sepanjang hari termasuk diperiksa gula dalam darah dan kadar kolesterol, satu ujian kecergasan menggunakan alat pengesan dan menjawab soalan mengenai gaya hidup mereka.
Pangkalan data itu akan mempertingkatkan perubatan terperinci di sini kerana ia akan menunjukkan gambaran menyeluruh tentang kesihatan warga Singapura dan risiko penyakit yang boleh dihadapi, kata Profesor Tan.
Encik Heng menambah:
"Kefahaman kaitan data klinikal genomik membolehkan terapi disasarkan kepada pesakit yang lebih berkemungkinan memberikan respons, mengelak reaksi ubat yang teruk dan memaksimumkan keberkesanan ubat dengan memberikan dos yang optimal."
Beliau berkata perubatan terperinci boleh memperbaiki hasil kesihatan pesakit dan menjadikan jagaan kesihatan lebih berkesan dari sudut kos.
Profesor Tan berkata sampel-sampel biologi lain, termasuk air liur dan najis akan dikumpul dan dibekukan bagi penyelidikan perubatan terperinci pada masa akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg