PEMILIK Mamanda memenangi satu tindakan saman yang diambil dua doktor terhadapnya berhubung dakwaan memberi gambaran salah hingga menyebabkan mereka melabur dalam syarikat itu dan beberapa syarikat lain. Dua doktor itu yang juga sepasang suami isteri - Dr Zuraimi Mohamed Dahlan dan Dr Elly Sabrina Ismail - telah melabur sebanyak $1 juta dalam syarikat yang dimiliki dan/atau dikendali Encik Zulkarnine Hafiz dan Cik Masmunah Abdullah. Namun, mereka mendakwa bahawa Encik Zulkarnine dan Cik Masmunah - yang juga sepasang suami isteri - telah memberi beberapa gambaran salah hingga mendorong mereka melabur dalam beberapa syarikat itu. Selepas Dr Zuraimi dan Dr Elly Sabrina membuat pelaburan itu, perniagaan syarikat itu merosot dan mereka mengalami kerugian. Menyusuli itu, mereka mengambil tindakan saman terhadap Encik Zulkarnine dan Cik Masmunah, dengan mendakwa pasangan itu telah memberi beberapa gambaran salah secara palsu semasa perundingan mereka, antara lain memberi gambaran bahawa syarikat itu berada dalam kedudukan kewangan dan komersial yang lebih baik daripada yang sebenarnya. Dalam penghakiman 34 halamannya hari ini (12 Okt), Hakim Mahkamah Tinggi Chan Seng Onn berkata beliau tidak menerima bahawa Dr Zuraimi dan Dr Elly Sabrina didorong melabur dalam syarikat itu hasil perwakilan yang dibentang Encik Zulkarnine dan Cik Masmunah berkenaan syarikat mereka. "Secara keseluruhan, pelaburan (Dr Zuraimi dan Dr Elly Sabrina) bernilai $1 juta dan ini satu pelaburan yang besar. "(Mereka) pastinya telah membaca prospektus syarikat itu dengan baik dan menjalankan ketelitian sewajarnya sebelum melabur," kata Encik Chan.

Tambahnya, defendan dalam kes ini juga tidak membuat sebarang kenyataan palsu.