Singapura sudah melaksanakan Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) bagi pemilikan kereta, dengan cukai lebih tinggi dikenakan bagi kereta lebih mewah.
Justeru, langkah tambahan seperti Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) yang digunakan dalam sektor perumahan, tidak diperlukan, kata Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ini dinyatakan oleh Pengarah bagi Mobiliti Persendirian dan Perkongsian di MOT, Cik Elaine Koh, dalam satu surat pada 5 Ogos, sebagai mengulas satu rencana pandangan yang ditulis oleh wartawan hartanah, The Business Times (BT), Encik Leslie Yee, baru-baru ini.
Encik Yee mencadangkan langkah seperti ABSD diperkenalkan, contohnya, mengenakan premium kepada mereka yang membeli lebih daripada satu kereta, termasuk penduduk tetap (PR), warga asing bukan PR, dan syarikat yang membeli kereta.
Beliau menulis cadangan tersebut dalam rencana bertajuk, “Haruskah sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta meniru idea daripada rejim ABSD bagi rumah?,” lapor BT.
ABSD diperkenalkan pada 2011 bagi “menggalak pasaran hartanah perumahan mampan, dengan harga bergerak seiring asas ekonomi,” kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) ketika itu.
Pada masa ini, ABSD sebanyak 20 peratus daripada harga pembelian atau nilai pasaran hartanah dikenakan ke atas rakyat Singapura yang membeli rumah kedua mereka.
PR yang membeli rumah pertama mereka membayar ABSD sebanyak lima peratus.
Warga asing bukan PR pula perlu membayar ABSD sebanyak 60 peratus, dan syarikat atau pemegang amanah yang membeli rumah pula dikenakan ABSD sebanyak 65 peratus.
Encik Yee turut mencadangkan agar premium COE ditetapkan berdasarkan peratusan daripada Nilai Pasaran Terbuka (OMV) sesebuah kereta, iaitu harga kereta ketika ia tiba di Singapura, termasuk kos perkapalan dan insurans, namun tidak termasuk cukai tempatan.
Ini akan mengatasi elemen dalam sistem COE sekarang, yang “mungkin bersifat regresif”, memandangkan premium Kategori A bagi kereta dan kenderaan elektrik (EV) kecil dan kurang berkuasa, membentuk peratusan yang jauh lebih tinggi daripada jumlah kos kereta, berbanding premium Kategori B bagi kereta lebih besar dan mewah.
Namun, Cik Koh menjelaskan bahawa sistem cukai kenderaan di Singapura sudah pun bersifat progresif melalui ARF, iaitu cukai berperingkat yang meningkat mengikut kos kenderaan.
ARF juga dinaikkan sebanyak dua kali sepanjang empat tahun lalu, tambahnya.
ARF berperingkat tersebut mengenakan cukai sehingga 320 peratus daripada OMV kereta, yang menyasarkan kereta lebih mewah.
Cik Koh menjelaskan bahawa cukai ke atas kereta kedua dan seterusnya yang dimiliki pembeli, tidak berkesan kerana hanya 5 peratus isi rumah di Singapura memiliki lebih daripada satu kereta.
Warga asing pula membentuk kurang dua peratus daripada jumlah bidaan COE yang berjaya, katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg