SESI doa berbilang agama bagi peringati mangsa banjir di Pakistan.
Itulah yang dilakukan para pemimpin berbilang agama daripada Pertubuhan Antara Agama (IRO) semalam.
Pertubuhan itu telah menganjurkan sesi berdoa antara agama khas untuk para penduduk Pakistan, sambil mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa, kesakitan dan penderitaan akibat banjir yang dahsyat baru-baru ini.
Satu tabung dana bantuan yang dianjurkan pada saat-saat akhir juga berjaya mengumpul lebih $30,000, yang akan disalurkan kepada Pakistan.
Tetamu kehormat bagi sesi tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya berkata:
"Terima kasih kepada IRO kerana menganjurkan sesi ini di saat akhir. Kami simpati dengan apa yang berlaku dan kami bersama Pakistan dalam masa yang sukar dan mencabar ini.
"Saya berbangga dan gembira untuk melihat wakil kesemua agama dari Singapura berkumpul dan bersatu untuk mengadakan sesi ini untuk Pakistan. Inilah Singapura, terus bersatu tak kira bangsa, bahasa atau agama."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg