Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin masyarakat hargai komitmen Faishal terhadap inisiatif akar umbi
Pemimpin masyarakat hargai komitmen Faishal terhadap inisiatif akar umbi
Sentiasa sedia beri sokongan demi kesejahteraan masyarakat Melayu/Islam
Pemimpin masyarakat hargai komitmen Faishal terhadap inisiatif akar umbi
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim merupakan seorang pemimpin yang telah membina hubungan rapat dengan masyarakat dan komited dalam membangunkan kesejahteraan masyarakat Melayu/Islam, kata beberapa pemimpin pertubuhan Melayu/Islam (MMO) tempatan.
Sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, beliau sentiasa bersedia untuk menyokong setiap usaha dan inisiatif akar umbi demi manfaat masyarakat Melayu/Islam, tambah mereka.
Dalam satu hantaran Facebook pada 20 Julai, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata:
“Bagi ramai yang mengenali beliau, Dr Faishal merupakan seorang yang telah lama membina hubungan yang erat dan berkekalan dengan pelbagai pihak.
“Sebagai rakan sekerja, saya amat menghormati beliau.”
Encik Zaqy, yang juga merupakan Pengerusi Mendaki, menyingkap komitmen Dr Faishal dalam membina hubungan dan kepercayaan bersama pelbagai pihak demi kemajuan masyarakat Islam.
“Melalui kerjasama rapat kami dalam Mendaki 2030 dan Tunas, saya menyaksikan sendiri komitmen beliau terhadap pembangunan masyarakat Islam, hubungan yang beliau pupuk, serta kepercayaan yang beliau bina.
“Jasa dan sumbangan beliau kepada masyarakat kita akan sentiasa dikenang,” kata beliau yang mengambil alih tugas sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Pada 20 Julai, Dr Faishal telah meletak jawatan daripada semua jawatan politik termasuk sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ia susulan insiden ‘kesilapan pertimbangan’ melibatkan interaksi dalam talian antara beliau dengan seorang wanita.
Berikutan pengunduran beliau, beberapa MMO lain turut melahirkan penghargaan terhadap usaha dan perkhidmatan Dr Faishal selaku pemimpin masyarakat Melayu/Islam sebelum ini.
Menurut Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, badan tersebut telah bekerjasama rapat dengan Dr Faishal khususnya dalam peranan beliau sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Beliau berkata: “Kami telah bekerjasama rapat dengan beliau dalam pelbagai inisiatif, termasuk Program Pembangunan dan Integrasi Semula yang menyokong usaha pemulihan dan penyepaduan semula pesalah dadah lelaki Muslim, serta M Kuasa Tiga Plus (M3+).
“Kami menghargai sokongan dan sumbangan beliau dalam menjayakan usaha tersebut.”
Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, turut berkongsi:
“Dr Faishal sangat disayangi oleh masyarakat.
“Beliau sering berusaha, mengambil masa untuk mendampingi masyarakat serta menjadi sosok penting buat mereka.
“Beliau merancang pelbagai inisiatif yang baik demi manfaat masyarakat dan komited untuk memastikan setiap rancangan itu dapat direalisasikan.
“Beliau juga sentiasa bersedia memenuhi jemputan ke acara kemasyarakatan dan sentiasa hadir untuk memberi sokongan.”
Kesediaan Dr Faishal untuk sentiasa memberi sokongan kepada pelbagai pihak itu turut diimbau oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.
“Sokongan beliau termasuk pengukuhan kerjasama dalam kalangan MMO menerusi inisiatif M3+ telah memajukan usaha pemulihan yang diselaraskan di bawah Rangkaian Pemulihan MMO (MMORN), khususnya bagi Rumah Peralihan Rise Above kendalian PPIS.
“Beliau juga telah menghadiri acara Majulah Together 2025 yang dianjurkan PPIS bersama beberapa MMO lain, sebagai tanda sokongan terhadap nilai kerjasama dan tindakan kolektif dalam memperkukuh masyarakat.
“PPIS sangat berterima kasih atas sokongan dan keterlibatan Dr Faishal dengan pertubuhan kami, serta masyarakat Melayu/Islam yang lebih luas, sewaktu tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam,” tambah Dr Razwana.
Justeru, Dr Faishal turut dikenang sebagai pemimpin yang sudi mendengar keluhan daripada setiap lapisan masyarakat, termasuk golongan belia.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Pengarah Eksekutif Membina Community, sebuah badan pemerkasaan belia, Encik Jihad Suhaimi, mengulas lanjut: “Dr Faishal sentiasa menunjukkan keprihatinan yang tulus terhadap golongan belia.
“Beliau seorang yang mesra, mudah didekati dan sedia mendengar, khususnya tentang aspirasi, kebimbangan serta pengalaman hidup belia daripada pelbagai latar belakang.
“Sepanjang interaksi saya dengan beliau, beliau sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap usaha kami bagi golongan belia dan menyokong pertubuhan akar umbi yang bekerjasama rapat dengan golongan tersebut.”
Selain daripada menyokong inisiatif dan usaha akar umbi oleh MMO, Dr Faishal juga dilihat sebagai pemimpin yang menjadi jambatan antara pemerintah dengan pertubuhan masyarakat Islam tempatan.
Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, menjelaskan:
“Kami berasa amat berbesar hati atas kesediaan Profesor Faishal untuk sentiasa mendengar pandangan, cadangan dan keprihatinan yang dikemukakan oleh Persatuan Muhammadiyah mengenai pelbagai isu yang menyentuh kepentingan masyarakat.
“Keterbukaan dan ketelusan beliau dalam mengadakan dialog serta membina kerjasama yang membina telah banyak membantu mengukuhkan hubungan antara pemerintah dengan pertubuhan masyarakat Islam.”
“
“Kami telah bekerjasama rapat dengan beliau dalam pelbagai inisiatif, termasuk Program Pembangunan dan Integrasi Semula yang menyokong usaha pemulihan dan penyepaduan semula pesalah dadah lelaki Muslim, serta M Kuasa Tiga Plus (M3+).”“
“Dr Faishal sangat disayangi oleh masyarakat. Beliau sering berusaha, mengambil masa untuk mendampingi masyarakat serta menjadi sosok penting buat mereka.”“
“Dr Faishal sentiasa menunjukkan keprihatinan yang tulus terhadap golongan belia. Beliau seorang yang mesra, mudah didekati dan sedia mendengar, khususnya tentang aspirasi, kebimbangan serta pengalaman hidup belia daripada pelbagai latar belakang.”