Setiausaha Agung Parti Pembaharuan (RP), Encik Kenneth Jeyaretnam, telah meninggal dunia pada 18 Julai. Beliau berusia 67 tahun.

Berita pemergiannya diumumkan oleh isterinya, Cik Amanda Jeyaretnam, dalam satu hantaran di Facebook pada petang 19 Julai.

Cik Amanda menyatakan bahawa Encik Kenneth “meninggal dunia dengan tenang dalam tidurnya dengan dikelilingi oleh anggota keluarga”.

Beliau menambah bahawa butiran acara pengebumian yang bakal diadakan secara kecil-kecilan untuk anggota keluarga masih dalam proses dimuktamadkan, dan majlis untuk memperingati kehidupan mendiang akan diatur pada tarikh yang lain.

“Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda serta kepada semua yang sempat melawat beliau di hospital, ketahuilah bahawa ia amat bermakna buat dirinya,” kata Cik Amanda.

Encik Kenneth merupakan anak sulung kepada mendiang Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Encik J.B. Jeyaretnam – yang lebih dikenali sebagai JBJ – tokoh politik pembangkang pertama yang dipilih menganggotai Parlimen Singapura selepas kemerdekaan pada 1965, dan pengasas Parti Pembaharuan pada 2008.

Mendiang Encik Kenneth mendapat pendidikan di United World College of South-East Asia (UWCSEA) dan Sekolah Charterhouse di England. Pada 1983, beliau lulus daripada Universiti Cambridge dengan ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dalam bidang ekonomi.

Beliau kemudian membina kerjaya dalam sektor kewangan, bermula sebagai penganalisis kredit di Wardley, anak syarikat perbankan perniagaan di bawah HSBC, sebelum berkhidmat di Continental Bank, Banque Indosuez, Lehman Brothers dan Nomura International.

Selepas pemergian bapanya pada akhir tahun 2008, Encik Kenneth mengambil alih tugas menerajui parti itu sejak Mei 2009.

Beliau pernah bertanding dalam tiga Pilihan Raya Umum, sebagai sebahagian daripada pasukan RP yang bertanding di GRC West Coast pada 2011 dan 2015, serta di GRC Ang Mo Kio – menentang pasukan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong – pada 2020. Bagaimanapun, RP tidak berjaya dalam kesemua percubaan tersebut.

Mendiang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025. Menerusi satu hantaran di media sosial pada April 2025, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat atas “nasihat doktor berikutan beberapa masalah kesihatan yang dialami baru-baru ini”, tanpa mengulas lanjut mengenainya.