Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin teknologi, pemerintah perlu terus-terang mengenai isu keselamatan siber
Gesa semua pihak kenal pasti bidang praktikal di mana kerjasama boleh dicapai.
Pemimpin teknologi, pemerintah perlu terus-terang mengenai isu keselamatan siber
Mewujudkan piawaian dan langkah perlindungan bersama, berkongsi risikan ancaman, melaporkan insiden siber, serta menguji teknologi baharu sebelum ia dilaksanakan memerlukan perhatian mendesak, terutamanya mengenai kecerdasan buatan (AI).
Membuat seruan ini pada 12 Oktober, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, menggesa pemerintah, pihak industri, penyelidik dan pakar keselamatan siber untuk bersuara secara jujur dan mencari titik persamaan.
Ini meskipun isu-isu yang dihadapi sukar dan sudut pandangan berbeza.
“Dalam beberapa hari akan datang, saya berharap di SICW kita boleh melakukan tiga perkara.
“Pertama, bercakap secara berterus-terang mengenai masalah yang sukar; kedua, mengenal pasti bidang praktikal di mana kerjasama masih boleh dilakukan; dan ketiga, mengubah dialog menjadi tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis makan malam gala sidang kemuncak Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) pada 12 Oktober.
Cik Teo berkata cabaran bersama seperti AI yang semakin berautonomi dan kumpulan perisian tebusan (ransomware) tidak boleh ditangani oleh mana-mana satu pihak berkepentingan sahaja.
“Banyak infrastruktur digital yang menjadi kebergantungan ekonomi kita dibina dan dikendalikan oleh pihak industri.
“Mereka boleh memberikan pandangan yang unik dan sejujurnya, penting mengenai landskap ancaman yang kebanyakan pemerintah tidak mempunyai pandangan penuh mengenainya,” kata beliau.
Persidangan SICW selama tiga hari, yang dijadualkan bermula pada 13 Oktober, dijangka menarik lebih 15,000 peserta dari 90 negara dan wilayah.
Ia akan membincangkan kesan AI yang semakin berkembang terhadap keselamatan siber, diplomasi dan kerjasama antarabangsa.
Peserta yang dijangka hadir termasuk wakil kanan pemerintah dari Amerika Syarikat, China, dan Eropah, manakala pemimpin dari makmal AI teratas seperti Anthropic, OpenAI dan Google juga akan menyertai perbincangan panel.
Cik Teo berkata kepercayaan terhadap teknologi dan infrastruktur digital semakin tertekan memandangkan pelaku canggih seperti UNC3886 dan penggunaan AI boleh mempercepatkan kelajuan serta skala serangan.
Negara-negara semakin tertanya-tanya sama ada teknologi kritikal dan rantai bekalan akan kekal selamat, boleh dipercayai dan mudah diakses semasa krisis, manakala persaingan strategik mewujudkan pilihan yang lebih sukar mengenai teknologi, pembekal, piawaian dan kesalingkendalian (interoperability), tambahnya.
“Akibatnya, kita menghadapi dilema – ketersambungan digital telah membuka lebih banyak peluang, tetapi kita juga lebih terdedah kepada risiko,” kata Cik Teo.
“Kita bersedia untuk berinteraksi lebih banyak, tetapi mendapati diri kita kurang bersedia untuk percaya.
“Ancaman yang kita hadapi merentasi sempadan dengan lebih mudah, manakala kerjasama merentasi sempadan menjadi semakin sukar.”
Cik Teo berkata kekurangan kepercayaan ini juga akan menyebabkan perniagaan dan rakyat teragak-agak untuk menerima pakai teknologi baharu.
Beliau menambah platform seperti SICW, yang kini memasuki edisi ke-11, adalah amat penting bagi pemerintah, pihak industri, penyelidik dan pakar keselamatan siber untuk berhimpun dan mengubah dialog menjadi tindakan.
Kerjasama itu juga mesti merangkumi syarikat sektor swasta yang membina dan mengendalikan infrastruktur digital tempat bergantungnya ekonomi.
Keselamatan AI mula mendapat perhatian khusus selepas pembuat ChatGPT, OpenAI, mendedahkan pada Julai bahawa ejen AI mereka – bot yang boleh menjalankan tindakan dengan pengawasan manusia yang minimum – telah terlepas daripada persekitaran ujian mereka.
Ejen-ejen tersebut kemudian menceroboh repositori perisian AI, Hugging Face, untuk menyempurnakan tugas yang diberikan, satu serangan yang tidak disengajakan oleh OpenAI.
Tidak lama selepas itu, Anthropic, Meta dan Google mengesahkan bahawa AI mereka juga telah bertindak liar dan menggodam organisasi lain.
Pada September, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese mendedahkan bahawa pangkalan data sistem kesihatan negara itu telah diceroboh oleh bot OpenAI yang bertindak liar pada Jun.
Cik Teo berkata pada awal Oktober bahawa Singapura akan bekerjasama dengan pembangun model, penyelidik, penguji pihak ketiga, dan organisasi keselamatan AI lain untuk memahami keupayaan serta risiko baharu model AI canggih yang dibangunkan dan dilaksanakan merentasi sempadan.
Di Singapura, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) telah mengeluarkan Adendum Mengamankan AI Agentik, yang memberikan panduan praktikal mengenai cara membantu organisasi mengamankan sistem AI yang semakin berautonomi, kata Cik Teo.
Beliau menambah bahawa agensi tersebut juga bekerjasama dengan organisasi untuk memindahkan infrastruktur kritikal kepada sistem selamat kuantum (quantum-safe), sebagai persediaan menghadapi risiko di mana kemajuan dalam pengkomputeran kuantum suatu hari nanti boleh memecahkan piawaian penyulitan (encryption) sedia ada.
“Kami berhasrat untuk kekal terbuka, terhubung, dan menerima pakai teknologi di mana ia memberikan nilai sebenar, walaupun persekitaran luaran menjadi semakin sengit,” kata Cik Teo.
“Pendekatan kami bukannya penerimaan secara membuta tuli mahupun berundur daripada sesuatu teknologi, tetapi membina langkah perlindungan dan keupayaan untuk menerima pakainya secara selamat.”