PEMIMPIN Parti Pekerja (WP) dan mereka yang terlibat dalam mengendalikan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) telah bertindak dengan niat yang baik apabila mereka memutuskan untuk mengetepikan tender bagi mendapatkan seorang agen pengurusan tidak lama selepas Pilihan Raya Umum 2011, kata Mahkamah Rayuan semalam.
Bagaimanapun, mereka juga menyedari potensi konflik kepentingan yang terlibat dan gagal menanganinya, walaupun mereka menyedari risiko lebihan pembayaran atau pembayaran yang tidak wajar, tambah mahkamah tertinggi Singapura itu.
"Namun, keadaan ini dibenarkan berterusan selama sekurang-kurangnya tiga tahun - dari Julai 2011 hingga Julai 2014 - dan dalam tempoh masa itu, AHTC mengeluarkan lebih $23 juta," katanya.
"Tindakan secuai itu, secara ringkasnya, sekurang-kurangnya berpotensi menjadi (perkara) besar. Oleh itu, kami tidak dapat melihat bagaimana tindakan sedemikian, yang boleh jadi satu kecuaian yang besar, boleh dikatakan telah dilakukan dengan niat baik."
Dalam penghakiman bertulis yang membenarkan sebahagian daripada rayuan yang dikemukakan pemimpin WP, mahkamah lima anggota yang diketuai Ketua Hakim Sundaresh Menon itu berkata ia mendapati mereka gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari atau gagal dalam tugas kemahiran dan jagaan yang saksama kepada AHTC.
Ini termasuk mantan Ketua WP, Encik Low Thia Khiang, dan pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, yang dalam penghakiman Mahkamah Tinggi 2019 didapati melanggar fidusiari tugas mereka kepada AHTC, lapor akhbar The Straits Times.
Ketua WP sekarang, Encik Pritam Singh, pula didapati melanggar tugas kemahiran dan jagaannya.
Semalam, Mahkamah Rayuan mendapati mereka masih bertanggungjawab terhadap AHTC kerana kecuaian dalam aspek tertentu.
Ia menyatakan bahawa memandangkan ahli majlis bandaran menyedari konflik kepentingan, mereka terlampau cuai dalam proses pembayaran kepada agen pengurusan FM Solutions and Services (FMSS).
Ini bermakna mereka mungkin masih bertanggungjawab terhadap ganti rugi itu.
Penghakiman itu dibuat kira-kira 20 bulan selepas perbicaraan pada Februari 2021 dengan empat peguam yang mewakili pihak-pihak dalam rayuan AHTC itu disoal selama enam jam.
Ia dilakukan dalam usaha mahkamah tertinggi untuk memastikan sama ada pemimpin-pemimpin WP itu telah melanggar tugas mereka terhadap Majlis Bandaran mereka, yang menyebabkan $33.7 juta disalah belanja.
Perbicaraan Mahkamah Rayuan itu menyusuli penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2019 yang memutuskan bahawa mantan ketua WP Encik Low dan pengerusi parti Cik Lim telah antara lain, melanggar tugas fidusiari mereka kepada AHTC.
Hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh mendapati mereka bertanggungjawab atas kerugian yang dialami AHTC.
Kes itu bermula sejak 2017, apabila sebuah panel bebas yang dilantik AHTC melancarkan saman terhadap anggota Majlis Bandaran itu, termasuk Encik Singh, Encik Low dan Cik Lim bagi pembayaran tidak wajar lebih $33 juta yang telah dilakukan di bawah jagaan mereka.
MND prihatin dapatan mahkamah
KEMENTERIAN Pembangunan Negara (MND) berkata ia prihatin dengan dapatan Mahkamah Agung bahawa pengerusi Parti Pekerja, Cik Sylvia Lim, beberapa anggota dan pekerja Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) lain tidak bertindak dengan niat yang baik berkaitan pembayaran sebanyak $23 juta kepada FM Solutions and Services (FMSS).
"Mereka sedar bahawa terdapat pelbagai konflik kepentingan (manifest conflict of interest), mereka tahu risiko bayaran berlebihan atau bayaran tidak wajar.
"Mahkamah berkata risiko yang terlibat benar dan nyata."
"Proses pembayaran mereka adalah satu contoh paradigma pentadbiran urusan kewangan yang kurang baik," kata MND dalam satu kenyataan.
Oleh sebab itu, sepanjang tempoh tiga tahun, dari 2011 hingga 2014, AHTC mengagihkan lebih $23 juta kepada FMSS.
"Mahkamah Rayuan telah mengarahkan pihak-pihak yang terlibat mengemukakan permohonan berhubung perkara berkaitan ganti rugi dalam soal pembayaran yang dibuat.
"MND akan memantau prosiding itu kerana dana awam terlibat," tambah kementerian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg