Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Pempengaruh agama’ dipenjara, disebat dek kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki

Seorang ‘pempengaruh agama’ dikenakan hukum penjara selama 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan kerana melakukan kesalahan seksual yang serius terhadap dua beradik lelaki muda.
Difahamkan tertuduh menjadi figura bapa kepada kedua-dua beradik tersebut apabila ibu bapa mereka tidak hadir dalam kehidupan mereka.
Dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH) pada 17 Ogos, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengecam keras kesalahan seksual yang serius melibatkan mangsa belia yang berlaku di kawasan masjid.
MUIS turut menjelaskan bahawa tertuduh bukan kakitangan atau sukarelawan masjid dan bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
“MUIS menggalakkan umat Islam, sama ada dalam talian mahupun secara bersemuka, supaya mendapatkan bimbingan daripada asatizah yang diiktiraf di bawah ARS, yang memenuhi piawaian latihan dan etika profesional yang ditetapkan,” kata MUIS dalam kenyataan itu.
Di samping itu, MUIS berkata ia akan memperkukuh langkah keselamatan sedia ada di masjid, termasuk rondaan dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
MUIS turut mengingatkan orang ramai bahawa individu yang menampilkan atau memperkenalkan diri sebagai seseorang yang berunsur keagamaan tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai guru agama yang berkelayakan.
Laporan ini akan dikemas kini dalam masa terdekat.

