Penat hantar makanan, lega ada tempat rehat
DENGAN permintaan pelanggan yang meningkat dan sekatan lebih ketat, pekerja penghantaran seperti Cik Erni Suriyati Dewi Ahmad Sukri (gambar) lega ada inisiatif untuk memudahkan pekerja khidmat penting seperti beliau berehat.
Ruang berehat yang selesa untuk golongan pekerja seperti beliau itu disediakan di tempat-tempat seperti di kelab masyarakat dan pusat beli-belah.
Cik Erni, 33 tahun, yang lazimnya melakukan penghantaran makanan setiap hujung minggu, berkata:
"Saya berbesar hati yang mereka mengambil langkah ke depan ini untuk menyediakan ruang untuk kami berehat.
"Satu langkah yang kecil tentunya memberikan kesan."
Namun pada masa sama, Cik Erni berharap lebih ramai warga Singapura akan lebih terbuka minda dan lebih memahami, terutamanya apabila mereka melihat penghantar yang terpaksa makan berdiri sambil menantikan tempahan pelanggan mereka disiapkan.
"Tidak semua penghantar bernasib baik berada berhampiran dengan ruang-ruang rehat yang disediakan, maka terpaksa makan sambil dalam perjalanan atau sedang bertugas," tambah beliau.

