Topik diikuti
Pergi ke BHkuPencerobohan data: CSA sedang pantau keadaan, kerjasama rapat dengan MOH, PDPC
MOH: Tiada sebarang akses tanpa kebenaran terhadap rekod kesihatan pesakit dikesan, tidak jejas operasi, keselamatan penjagaan pesakit.
Pencerobohan data: CSA sedang pantau keadaan, kerjasama rapat dengan MOH, PDPC
Siri insiden pencerobohan keselamatan siber yang melanda sektor penjagaan kesihatan baru-baru ini tidak menjejaskan operasi, keselamatan mahupun penjagaan pesakit, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Dalam pada itu, tiada sebarang akses tanpa kebenaran terhadap rekod kesihatan pesakit dikesan, tambah MOH dalam satu kenyataan pada 12 November.
Pada hari yang sama, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menjadi pertubuhan berkaitan penjagaan kesihatan terbaharu yang melaporkan insiden keselamatan siber melibatkan salah satu sistemnya.
Dalam satu kenyataan, AIC memaklumkan bahawa pada 10 November, ia mengesan sistem teknologi maklumat (IT) Perancangan Penjagaan Awal (ACP) miliknya telah diakses oleh pihak ketiga tanpa kebenaran.
Susulan itu, data seperti nama, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor kad pengenalan (NRIC) milik sehingga 4,064 pekerja institusi penjagaan kesihatan awam dan penyedia penjagaan masyarakat mungkin telah diakses.
Setakat ini, tiada petunjuk bahawa rekod perubatan atau data pesakit telah bocor, kata AIC, sambil menambah bahawa tiada sistem lain yang terlibat.
Sistem IT ACP itu digunakan oleh fasilitator bagi membantu orang ramai mendokumenkan ACP mereka, kata AIC, yang menyelaras dan menyokong penyediaan perkhidmatan penjagaan warga emas.
Menurut AIC, fasilitator merupakan individu bertauliah yang mengendalikan perbincangan ACP serta membimbing pengguna membuat keputusan berhubung pilihan penjagaan masa hadapan mereka.
Agensi itu memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Satu laporan polis telah dibuat pada 10 November, kata AIC, sambil menambah insiden itu turut dilaporkan kepada Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura.
Sistem IT ACP itu dinyahaktifkan daripada talian pada hari yang sama sementara siasatan dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga, kata AIC, dan ia telah dipulihkan pada 12 November.
Sepanjang tempoh tersebut, fasilitator ACP dinasihatkan supaya meneruskan dokumentasi ACP menggunakan borang fizikal, ujar agensi itu.
“AIC terus menyiasat insiden ini, serta akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap sistemnya dan bekerjasama dengan CSA untuk mengambil langkah pemulihan segera bagi memperkukuh pertahanan sibernya.”
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), CSA berkata ia sedang memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan MOH serta Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) berhubung insiden dalam sektor penjagaan kesihatan yang berlaku baru-baru ini.
“Organisasi-organisasi sewajarnya melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi sistem mereka daripada pencerobohan data, manakala orang ramai pula harus kekal berwaspada terhadap kemungkinan percubaan pancingan data dan penipuan,” kata CSA.
Dalam satu kenyataan pada 12 November, MOH turut memaklumkan bahawa ia telah meminta agensi teknologi kesihatan nasional, Synapxe, serta institusi penjagaan kesihatan awam supaya sentiasa berwaspada dan meningkatkan pemantauan terhadap potensi ancaman siber di seluruh sistem IT penjagaan kesihatan awam.
AIC dalam kenyataannya pada 12 November pula memberitahu bahawa ia akan menghubungi mereka yang berkemungkinan terjejas dalam tempoh tiga hari akan datang.
Individu yang terjejas dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya menerima e-mel, mesej dan panggilan yang mencurigakan serta tidak diundang.
Orang ramai juga harus mengelak daripada berkongsi maklumat peribadi, kata laluan atau kata laluan sekali guna (OTP) dengan individu tidak dikenali.
Selain itu, mereka yang mengesyaki maklumat peribadi mereka telah diceroboh boleh menghubungi AIC di talian 1800-650-6060 atau menghantar e-mel ke enquiries@aic.sg.