Topik diikuti
Pergi ke BHkuPencerobohan data wadah MoneySmart jejas maklumat peribadi pengguna S’pura, HK
Profil kewangan pengguna dengan julat pendapatan, tahap kehidupan dan produk wang turut berisiko terdedah
Pencerobohan data wadah MoneySmart jejas maklumat peribadi pengguna S’pura, HK
Data peribadi sebilangan pelanggan MoneySmart di Singapura dan Hong Kong terjejas selepas penggodam menceroboh sistem teknologi maklumat (IT) dalaman portal kewangan peribadi itu pada Oktober.
Menerusi e-mel yang dihantar kepada pengguna terjejas pada 2 dan 3 November yang dilihat oleh The Straits Times (ST), platform berkenaan memaklumkan bahawa pihak ketiga tanpa kebenaran telah mengakses sebahagian daripada sistem IT dalamannya pada 29 Oktober.
“Sistem ini menyimpan data peribadi yang dikongsi pelanggan bersama kami apabila mereka membandingkan atau memohon produk kewangan melalui MoneySmart,” ujar e-mel tersebut.
Wadah dalam talian MoneySmart membolehkan pengguna menilai, membandingkan dan memohon pelbagai produk kewangan, termasuk kad kredit, pinjaman peribadi serta insurans perjalanan.
Ketika menjawab pertanyaan ST pada 3 November, syarikat itu mengesahkan data peribadi milik sebilangan pelanggan di Singapura dan Hong Kong telah disalin.
Maklumat pelanggan yang mungkin telah diakses itu merangkumi butiran peribadi seperti nama, tarikh lahir, kewarganegaraan dan nombor kad pengenalan.
Ia turut melibatkan maklumat perhubungan seperti alamat e-mel, nombor telefon bimbit dan alamat penghantaran.
Selain itu, profil kewangan yang mengandungi julat pendapatan, tahap kehidupan serta produk kewangan yang dimiliki pelanggan turut berisiko terdedah.
Data lain yang terjejas melibatkan butiran kenderaan, termasuk pertanyaan berkaitan kereta atau polisi insurans kereta.
MoneySmart sedang menghubungi pelanggan terjejas bagi menjelaskan jenis data yang terlibat dalam pencerobohan data berkenaan, selain menyarankan langkah perlindungan yang boleh diambil.
Syarikat itu bagaimanapun tidak memperincikan bilangan pengguna yang terjejas ketika menjawab pertanyaan ST.
“Sebaik sahaja kami mengesan kejadian ini, kami telah menyekat akses tanpa kebenaran tersebut dan mengambil langkah untuk mengukuhkan keselamatan sistem kami,” kata Ketua Eksekutif, MoneySmart, Encik Vinod Nair.
Pihak pengawal selia di kedua-dua negara telah dimaklumkan, termasuk Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), serta Pejabat Pesuruhjaya Privasi bagi Data Peribadi serta Penguasa Insurans di Hong Kong.
Pakar keselamatan siber dan forensik digital bebas juga telah dilantik bagi menyiasat pencerobohan tersebut, tambah syarikat itu.
“Operasi MoneySmart berjalan seperti biasa dan kami komited untuk terus menyokong para pelanggan kami.
“Kami sedang meneliti segala faktor yang membawa kepada kejadian ini dan melaksanakan perubahan yang diperlukan bagi mengelak perkara ini daripada berulang.
“Saya memohon maaf sedalam-dalamnya kepada semua pihak terjejas.
“Pelanggan meletakkan kepercayaan kepada kami terhadap maklumat kewangan peribadi mereka, dan kami memikul tanggungjawab ini dengan penuh serius,” kata Encik Nair.