SEMUA tempat di enam sekolah rendah telah diisi pada fasa kedua pendaftaran Darjah Satu, yang keputusannya disiarkan semalam.
Enam sekolah itu ialah Sekolah Ai Tong, Sekolah Tinggi Katolik (Rendah), Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas (Rendah), Sekolah Rendah Nanyang, Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian dan Sekolah Rosyth, menurut maklumat di laman web Kementerian Pendidikan (MOE).
Fasa selanjutnya, Fasa 2A(2) bermula 9 pagi pada hari ini dan akan ditutup pada 4.30 petang esok.
Semua enam sekolah itu akan menawarkan tempat lagi bagi Fasa 2B dan Fasa 2C, kerana setiap sekolah rendah memperuntuk 20 tempat bagi setiap fasa ini.
Kecuali Sekolah Ai Tong, sekolah-sekolah ini akan mengadakan undi semasa Fasa 2A(1), yang diperuntuk bagi kanak-kanak dengan ibu bapa yang menganggotai persatuan alumni sekolah atau jawatankuasa penasihat atau pengurusannya.
Seramai 123 pemohon mendaftar bagi 119 tempat di Sekolah Tinggi Katolik, sementara 121 pemohon memburu 77 tempat yang ditawarkan Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas.
Sekolah Rendah Nanyang menerima 150 permohonan bagi 140 tempat dan Sekolah Rosyth mendapat 102 permohonan bagi 81 tempat, sementara Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian mendapat 86 permohonan bagi 71 tempat.
Sekolah Ai Tong menerima 113 permohonan bagi jumlah tempat yang sama.
Tahun lalu, undi diadakan dalam Fasa 2A(1) bagi CHIJ St Nicholas, Sekolah Rendah Nan Hua, Sekolah Rosyth dan Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian.
Fasa 2A(2) diperuntuk bagi kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik atau ibu bapa yang menjadi alumni sekolah itu, ibu bapa yang menjadi kakitangan sekolah atau kanak-kanak yang kini belajar di tadika MOE yang terletak di sekolah rendah itu.
Sebahagian sekolah juga boleh mengadakan undi bagi fasa itu jika bilangan pemohon melebihi tempat yang ditawarkan, seperti di Sekolah Rendah Temasek, yang menawarkan 11 tempat, Sekolah Rendah Gongshang, yang menawarkan 25 tempat, dan Sekolah Rendah Nan Hua, yang mempunyai lima tempat.
Kededua Sekolah Rendah Temasek dan Sekolah Rendah Gongshang mengadakan undi bagi Fasa 2A(2) pada tahun lalu.
Sekolah-sekolah lain yang popular dan mempunyai tempat terhad ialah Sekolah Perempuan Methodist (Rendah) yang menawarkan 23 tempat, sementara Sekolah Rendah Henry Park menawarkan 32 tempat.
Sekolah Anglo-Chinese (Rendah) menawarkan 38 tempat.
Proses pendaftaran Darjah Satu tahun ini diadakan sepenuhnya di dalam talian dan akan berlangsung sehingga Oktober. Ada tujuh fasa kesemuanya.
Borang pendaftaran bagi fasa-fasa selanjutnya boleh diperolehi di laman web MOE.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg