Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendaftaran murid Darjah 1 bermula 2 Jul

May 16, 2024 | 1:15 PM
Maklumat mengenai bilangan kekosongan tempat bagi setiap sekolah dalam pendaftaran murid Darjah Satu tahun ini, akan dikemas kini dan pendaftaran akan bermula pada Julai.
Maklumat mengenai bilangan kekosongan tempat bagi setiap sekolah dalam pendaftaran murid Darjah Satu tahun ini, akan dikemas kini dan pendaftaran akan bermula pada Julai. - Foto fail

Pendaftaran bagi murid-murid Darjah 1 pada 2025 akan berlangsung dari 2 Julai hingga 30 Oktober, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada 16 Mei.

Proses pendaftaran akan dijalankan secara dalam talian, melalui Portal Pendaftaran P1, yang boleh diakses di laman web MOE.

Ibu bapa akan dapat mengetahui yang mana antara lima fasa pendaftaran – 1, 2A, 2B, 2C dan 2C Tambahan – untuk anak-anak mereka.

Sementara itu, senarai sekolah rendah dan bilangan tempat yang ada, akan dimaklumkan di laman web Pendaftaran P1, selewat-lewatnya 25 Jun ini.

Ibu bapa dikehendaki memiliki Singpass yang sah dengan pengesahan 2 faktor (2FA) untuk masuk ke portal.

MOE menasihatkan ibu bapa supaya menyediakan Singpass 2FA mereka lebih awal, dan memastikan akaun Singpass mereka sah sebelum pendaftaran bermula.

Kementerian itu juga menambah bahawa hanya seorang ibu bapa diperlukan untuk melakukan pendaftaran.

Mereka yang memerlukan bantuan semasa proses itu boleh menghubungi sekolah pilihan mereka melalui e-mel, atau telefon pada hari pendaftaran masing-masing antara 9 pagi dengan 4.30 petang.

MOE juga akan menyediakan data daripada Latihan Pendaftaran P1 tahun sebelumnya, di laman webnya sebagai rujukan.

Data termasuk bilangan tempat kosong, bilangan pemohon dan maklumat pengundian.

Ibu bapa juga akan dapat melihat senarai sekolah dalam jarak 2 kilometer dari kediaman mereka, dan menyemak sama ada sekolah tersebut sudah terlebih pendaftaran dalam fasa tertentu, semasa pendaftaran 2023.

Maklumat mengenai bilangan tempat kosong bagi setiap sekolah dalam pendaftaran tahun ini, akan dikemas kini pada setiap fasa, kata MOE.

Bagaimanapun, kerana penarikan diri dan perubahan boleh dibuat sepanjang tempoh pendaftaran, bilangan tempat kosong mungkin berubah.

“Dalam memilih sekolah rendah, kami menggalak ibu bapa supaya mempertimbangkan pelbagai sekolah yang stabil dan meneroka cara program dan tawaran unik sekolah itu, agar dapat memenuhi keperluan pembelajaran, minat dan kebolehan anak mereka dengan sebaiknya.

“Ibu bapa juga harus mempertimbang sekolah yang agak dekat dengan rumah, untuk mengurangkan masa ulang-alik anak mereka,” kata MOE.

Mulai 20 Mei, ibu bapa boleh memuat turun aplikasi Gerbang Ibu Bapa (Parents Gateway) MOE, yang tersedia pada iOS dan Android, dan mendaftar dengan akaun Singpass mereka.

Aplikasi ini, antara lain, menyediakan maklumat mengenai proses pendaftaran P1, serta tugas pentadbiran sebelum permulaan penggal persekolahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg