Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendamping terus berhubung walau Covid-19 melanda

Mar 14, 2021 | 5:30 AM
TETAP BERHUBUNG: Cik Hawa berhubung bersama Cik Loh menerusi panggilan video dan mereka telah mengenali satu sama lain sejak 2018 di bawah program Jiran bagi Kehidupan Aktif. - Foto CDC SOUTH EAST
TETAP BERHUBUNG: Cik Hawa berhubung bersama Cik Loh menerusi panggilan video dan mereka telah mengenali satu sama lain sejak 2018 di bawah program Jiran bagi Kehidupan Aktif. - Foto CDC SOUTH EAST -

AKIBAT mengalami beberapa masalah kesihatan seperti kegagalan buah pinggang, tekanan darah tinggi dan kencing manis, Cik Hawa Haron, 74 tahun, lebih banyak meluangkan masanya di rumah bersama suaminya.

Tiga kali seminggu, suaminya akan menolaknya dalam kerusi roda ke sesi dialisis beliau.

Namun pada 2018, Cik Hawa diperkenalkan kepada seorang relawan, Cik Verone Loh, 61 tahun, yang banyak berinteraksi dengan beliau untuk meningkatkan penglibatan sosialnya.

Di bawah program Jiran bagi Kehidupan Aktif (Neighbours for Active Living atau singkatannya Neighbours) anjuran Hospital Besar Changi (CGH) bersama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East itu, Cik Loh mengunjungi Cik Hawa setiap bulan dan mereka saling berkongsi resipi serta pelbagai cara memasak.

Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai Pengurus Operasi, Cik Loh tetap meluangkan masa untuk membuat kerja sukarela di tengah-tengah jadualnya yang sibuk.

Perbezaan latar belakang dan bangsa tidak menjadi masalah bagi mereka yang kerap menghubungi satu sama lain setelah Covid-19 melanda.

Mereka berdua merupakan antara 120 penerima bantuan dan pendamping dalam program Neighbours yang kekal terhubung menerusi panggilan telefon dan video sewaktu pandemik Covid-19.

Berucap sewaktu Hari Penghargaan Relawan Neighbours semalam, Mayor Daerah South East, Encik Mohd Fahmi Aliman berkata:

"Tentu sekali Covid-19 merupakan salah satu cabaran terbesar yang telah dihadapi negara dan dunia, tetapi ia menyentuhkan hati untuk mengetahui bahawa program "Neighbours" kami, kedua-dua penerima bantuan dan pendamping , mendakap teknologi dan mencari cara untuk terus tabah, dan tiada yang ketinggalan walau sedang masyarakat kita melawan pandemik ini bersama."

Ketua Pegawai Pembangunan Masyarakat CGH, Dr Eugene Shum berkata apabila lawatan fizikal oleh relawan terhenti, pasukan penjagaan masyarakat mereka, CDC South East dan rakan masyarakat mengadakan sesi latihan maya bagi relawan dan melengkapi mereka dengan kemahiran serta pengetahuan supaya mereka boleh terus menyokong penerima bantuan.

Dirintis pada 2013, program Neighbours itu ditubuhkan untuk memastikan pesakit yang mempunyai keperluan rumit dan keperluan penjagaan sosial menerima penjagaan berterusan dalam masyarakat setelah dikeluarkan daripada hospital.

Ia menggabungkan pasukan profesional CGH bersama relawan dari program Friend-A-Senior @ South East untuk menjaga penerima bantuan warga emas yang beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Para relawan tinggal dalam kejiranan yang sama seperti penerima bantuan yang mereka sokong, menggalakkan hubungan jangka panjang untuk terjalin supaya dapat memperkaya kehidupan kedua-dua penerima bantuan serta relawan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg