Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penderia bantu pantau, lindung perairan S'pura jelang 2025

Oct 23, 2022 | 5:30 AM
BATU KARANG: Pelbagai jenis batu karang dilihat dalam tangki di Makmal Laut Kebangsaan Pulau St John. - Foto BM oleh GIN TAY
BATU KARANG: Pelbagai jenis batu karang dilihat dalam tangki di Makmal Laut Kebangsaan Pulau St John. - Foto BM oleh GIN TAY -

TIGA pelampung yang telah dipasang alat penderia bakal dilepaskan di perairan pantai Singapura menjelang 2025 dalam usaha mengesan mekarnya alga-alga toksik serta pelunturan batu karang.

Diberi nama Rangkaian Pengesan Persekitaran Marin (MESN), pelampung-pelampung ini memberi maklumat tentang air laut di selat Singapura, termasuk kandungan mineral, suhu dan tahap kemasinan.

Dr Jani Tanzil, Timbalan Pengarah Makmal Laut Kebangsaan Pulau St John, berkata rangkaian itu akan membolehkan para saintis mengesan perubahan dalam kualiti air - contohnya, bunga alga yang boleh terbentuk dalam masa beberapa hari sahaja dan tahap oksigen yang berkurangan dengan teruk, membunuh haiwan akuatik seperti ikan dengan cepat.

Pemanasan pada air laut serta pengasidan lautan yang boleh menyebabkan kehilangan hidupan marin dalam jangka panjang juga boleh dikesan melalui perubahan dalam kualiti air, tambahnya.

"Data ini juga membolehkan kami menyumbang kepada set data serantau dan global yang memantau kesihatan lautan dan mengukuhkan sains untuk menangani isu-isu utama yang dihadapi perairan yang dikongsi di sekeliling kita."

MESN dirasmikan semalam di Rumah Terbuka R&D Sains Marin di Pulau St John.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, menjadi tetamu terhormat pada majlis itu yang meraikan penyelidikan sains marin selama 20 tahun.

Dr Serena Teo, Pengarah kemudahan makmal marin yang berada di bawah Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata makmal itu telah memainkan peranan penting dalam menubuhkan Singapura sebagai 'regional nexus' atau "penghubung serantau" dalam penyelidikan dan pendidikan sains marin.

MESN, yang merupakan kerjasama antara NUS, Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), juga akan meningkatkan keupayaan sedia ada dalam kejuruteraan marin, ekologi marin dan teknologi data.

Di bawah projek lima tahun itu, pelampung akan dipasang berhampiran Pulau St John, Tanah Lembap Chek Jawa dan Rumah Api Raffles.

Pelampung pertama akan dipasang di luar Pulau St John pada November ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg