Dalam suasana program Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) yang melibatkan golongan warga emas dari Pusat Penuaan Aktif Allkin dan banduan wanita di Penjara Changi, kelihatan seorang wanita yang begitu bertenaga, ligat berinteraksi bersama 10 warga emas tersebut.

Kelompok warga emas itu turut kelihatan terhibur dan kerap bersorak apabila wanita tersebut cuba memeriahkan suasana kegiatan yang sedang mereka lakukan.

Itulah Sya (bukan nama sebenar), 26 tahun, yang sebenarnya bersifat pendiam dan pemalu secara semula jadi.

Namun, melalui program NYAA yang diadakan buat golongan banduan, ia telah mendorongnya untuk keluar daripada ‘kepompong’ dan menjadi lebih yakin apabila menjalankan kegiatan bersama orang lain.

Bagi Sya, yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun pada 2025 atas kesalahan penyalahgunaan dadah, dia telah hilang keyakinan dan kepercayaan diri sejak meringkuk dalam penjara.

Namun, semangatnya kembali menyala saat pertama kali mendapat tahu mengenai program NYAA buat banduan di penjara.

Atas rasa ingin tahu yang kuat, dia bertanya kepada pegawai penjara dan menyuarakan hasrat untuk menyertainya.

“Apabila saya berada di penjara, saya lebih banyak mendiamkan diri dan saya rasakan diri saya sebagai seorang ‘introvert’.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Namun, apabila saya mendapat tahu mengenai program itu, tercetus keinginan kuat untuk mengetahui lebih lanjut tentang NYAA?

“Saya pun menghampiri seorang pegawai untuk bertanya dan pada masa yang sama, saya nyatakan minat saya untuk mengambil bahagian,” katanya.

Sikapnya yang lebih suka mendiamkan diri bukanlah atas dasar rasa malu atau ‘introvert’ semata-mata.

Malah, ia bertitik juga daripada kekesalan atas kesilapan silam yang pernah dilakukan hingga membuat dia rasa takut dengan bayang-bayang sendiri dan kerap mempertikaikan dirinya.

Sebelum menyertai program NYAA, dia tidak dapat membayangkan dirinya menjadi seorang yang begitu aktif dan giat berinteraksi dengan orang lain apatah lagi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebelum ini, ia tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya untuk bergiat aktif sewaktu berada dalam penjara.

“Jika ada terfikir pun, saya akan cepat-cepat menidakkannya sambil berkata ‘ish merepek sahaja untuk saya lakukan semua itu’,” katanya.

Namun, wujudnya program NYAA di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) sejak 2000 telah memberikan satu sinar harapan buat banduan seperti Sya.

NYAA merupakan sebahagian daripada inisiatif pemulihan untuk menyuntik semangat serta menggalakkan banduan terus komited mengubah diri sepanjang tempoh pemenjaraan mereka.

Sejak diperkenalkan, program NYAA telah diperluas kepada lebih ramai banduan dengan lebih 2,400 banduan telah mendapat meraih manfaat daripada program tersebut sepanjang tempoh pelaksanaannya di penjara.

Pada 2026, seramai 96 banduan telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Melalui beberapa kegiatan seperti sukan dan khidmat masyarakat yang disajikan dalam program itu, ia bukan sahaja telah memberi Sya satu tujuan kehidupan baharu, malah turut membentuknya menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Bagi Sya yang juga berperanan sebagai penyokong rakan sebaya dan Pembantu Unit Pemulihan (CUA) di penjara, dia turut menyalurkan pengalaman dan nilai yang diperoleh kepada rakan tahanan.

“Setiap kali selesai program NYAA, saya akan kembali ke sel dan berkongsi dengan kesemua rakan sel saya.

“Ini secara tidak langsung dapat membangunkan satu sistem sokongan yang sihat sesama kami, pesalah muda.

“Saya bersyukur dengan program ini saya bukan sahaja dapat membantu pesalah lain, malah, dapat juga menyumbang semula kepada masyarakat khususnya warga emas dari Pusat Penuaan Aktif Allkin,” ujar Sya yang telah merangkul anugerah emas dalam program tersebut.