Sejak kecil, Cik Rafidah Ridzuan, gemar berada di atas pentas, menjadi pengacara dan meluangkan masa bersama kanak-kanak.

Melihat minat tersebut, bapanya, Allahyarham Ridzuan Samson, mencadangkan agar beliau menjadi guru kerana kerjaya itu akan memberinya peluang memainkan pelbagai peranan dan melakukan perkara yang diminatinya.

Nasihat itu akhirnya membawa Cik Rafidah ke dalam bilik darjah sebagai pendidik, seiring pesanan yang terus dipegangnya 28 tahun kemudian: anggaplah pekerjaan sebagai satu ibadah.

Kini, Guru Kanan berusia 49 tahun di Sekolah Rendah Tampines North itu merupakan antara lapan penerima Anugerah Guru Bahasa Inggeris Inspirasi (ITEA) 2026, yang disampaikan Gerakan Bertutur Bahasa Inggeris Yang Baik bersama The Straits Times (ST), dengan sokongan Kementerian Pendidikan (MOE).

Namun, bagi Cik Rafidah, ganjaran paling bermakna ialah kejayaan kecil anak didiknya.

Antara kenangan yang paling dekat di hatinya berlaku baru-baru ini, apabila seorang bekas murid yang pernah diajarnya ketika di Darjah 1 dan 2 kembali menemuinya pada usia pelajar itu 15 tahun.

Dahulunya pemalu, mudah marah dan sukar bersuara, remaja itu kini menjadi ketua kelas di sekolah menengah, dan memberitahu Cik Rafidah beliau sudah menjadi seorang yang lebih yakin.

“Cikgu, cikgu bangga tak dengan saya?” tanya pelajar itu kepada Cik Rafidah.

Pesanan arwah bapanya supaya melakukan setiap pekerjaan dengan niat mencari reda Allah, menjadi pegangan Cik Rafidah, terutama ketika berdepan cabaran sepanjang kerjayanya.

“Apabila saya menghayati pesanan tersebut, saya sedar bahawa setiap usaha, cabaran dan pengorbanan dalam mendidik mempunyai makna yang lebih besar,” katanya.

Sepanjang hampir tiga dekad mengajar, pendekatan Cik Rafidah turut berkembang mengikut keperluan murid.

Beliau percaya pembelajaran Bahasa Inggeris tidak seharusnya terbatas kepada buku teks, sebaliknya perlu menyeronokkan dan memberi ruang kepada kanak-kanak mencuba tanpa takut melakukan kesilapan.

Antara pendekatannya termasuk kaedah pembelajaran di luar bilik darjah, lakonan dan permainan, serta menyediakan sudut menenangkan diri dan ruang sensori bagi murid yang memerlukan cara berbeza untuk mengurus emosi agar dapat terus belajar.

Ketika pandemik Covid-19, misalnya, lawatan pembelajaran muridnya ke Taman Pasir Ris terpaksa dibatalkan.

Oleh kerana tidak mahu mereka terlepas pengalaman tersebut, Cik Rafidah telah mengubah sebahagian taman sekolah menjadi ‘denai alam’, dengan gambar haiwan diletakkan di sekitar pokok dan rimbun agar murid dapat meneroka, berbincang dan kemudian menulis mengenai pengalaman mereka.

“Pengalaman pembelajaran yang bermakna tidak semestinya perlu jauh dari bilik darjah. Ruang di sekeliling sekolah juga boleh digunakan,” katanya.

Bagi Cik Rafidah, anugerah tersebut bukan petanda beliau sudah mencapai kemuncak sebagai pendidik.

Sebaliknya, ia mendorongnya agar terus belajar, membimbing guru lebih muda dan memastikan setiap kanak-kanak mempunyai ruang untuk mencari suara mereka sendiri.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) tentang pesanan buat semua bekas pelajarnya sepanjang 28 tahun ini, beliau berkata:

“Saya bukan sekadar guru anda ketika di sekolah rendah. Saya adalah guru anda sepanjang hayat, dan pintu sentiasa terbuka untuk anda kembali pada bila-bila masa.”