Pada usia 13 tahun, Faiz Zahid, sudah mula memikirkan tentang masa depan bahasa Melayu dalam kalangan generasinya.

Dia melihat sendiri bagaimana sebahagian rakan sebayanya lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris, malah ada yang berasa kekok atau takut melakukan kesilapan apabila cuba menggunakan bahasa Melayu.

Keadaan itu mencerminkan pengalaman Faiz sendiri yang kini belajar di Maktab Rendah Temasek.

Bahasa Inggeris, katanya, datang secara semula jadi kerana sudah digunakan sejak kecil.

Minatnya terhadap bahasa Melayu pula hanya mula berkembang ketika berada di Darjah 5, apabila beliau mengambil Bahasa Melayu Lanjutan.

“Untuk bahasa Inggeris, ia datang secara semula jadi kerana sepanjang hidup saya, saya kerap bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Bagi bahasa Melayu pula, saya tidak begitu berminat ketika di peringkat awal sekolah rendah, sehingga ke Darjah 5,” katanya.

Namun, dorongan guru Bahasa Melayu telah membuka matanya kepada keunikan bahasa itu, khususnya dengan peribahasa.

“Peribahasa sesuatu yang sangat unik kepada bahasa Melayu. Ia tidak semestinya boleh diterjemahkan secara langsung ke bahasa Inggeris, jadi itulah yang membuatnya menonjol bagi saya,” ujarnya.

Berpegang pada semangat peribahasa ‘air dicencang tidak akan putus’, yang baginya mencerminkan nilai perpaduan dan hubungan erat dengan orang di sekeliling, dia berusaha membudayakan penggunaan bahasa Melayu dengan bertutur dalam bahasa itu bersama keluarga dan rakan.

Usaha dan pencapaiannya dalam mempertahankan kedwibahasaan menyaksikan Faiz menjadi antara 39 penerima Anugerah Buku Perdana Menteri dalam Majlis Penyampaian Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) pada 31 Ogos.

Menurut Faiz, hubungannya dengan budaya dan bahasa Ibunda diperkukuh lagi menerusi pengalamannya sebagai Rakan Bahasa pada 2024.

Antara pengalaman yang paling diingatinya adalah menyertai penggambaran sempena Bulan Bahasa serta menghasilkan podcast bersama Rakan Bahasa lain.

“Sebagai Rakan Bahasa, saya berpeluang menghasilkan podcast bersama Rakan Bahasa yang lain. Kami menulis skrip dan membuat rakaman bersama guru.

“Banyak perkara lagi yang saya lakukan sebagai Rakan Bahasa tidak pernah saya cuba sebelum ini, jadi pengalaman itu sangat unik bagi saya dan mendorong saya keluar daripada zon selesa,” katanya.

Pengalaman tersebut turut membuatnya lebih menghargai budaya sendiri.

“Ia membuat saya berasa lebih dekat dengan budaya saya dan dapat lebih menghargainya. Saya berharap pada masa hadapan, generasi muda akan terus menggunakannya,” ujar Faiz.

Bagi Faiz, pengiktirafannya itu menguatkan lagi keinginannya untuk membantu lebih ramai rakan sebaya membina keyakinan menggunakan bahasa Melayu.

Malah, dia berharap dapat mewujudkan sebuah wadah bagi golongan muda yang mahu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu untuk berlatih dan bersuara tanpa takut diejek sekiranya melakukan kesilapan.

“Saya berharap suatu hari nanti dapat membentuk sebuah masyarakat yang menghimpunkan golongan muda yang mahu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.

“Ruang ini adalah tempat di mana mereka boleh berlatih bertutur, berkongsi pandangan dan melakukan kesilapan tanpa takut diejek.

“Dengan cara itu, saya berharap dapat membantu mereka (agar) lebih yakin menggunakan bahasa Melayu dan membina hubungan yang lebih mendalam dengan bahasa itu,” tambahnya.