Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar RP ulang kali ke China demi persiapan WorldSkills bagi bidang kemahiran Teknologi Kenderaan Rel
Pelajar RP ulang kali ke China demi persiapan WorldSkills bagi bidang kemahiran Teknologi Kenderaan Rel
Pelajar RP ulang kali ke China demi persiapan WorldSkills bagi bidang kemahiran Teknologi Kenderaan Rel
Latihan berbulan-bulan, termasuk lawatan berulang kali ke Zhejiang dan Changchun di China serta pengalaman praktikal di SBS Transit, menjadi persiapan buat Encik Arfan Amirun Arfiee sebelum melangkah ke pentas antarabangsa buat kali pertama.
Pelajar Politeknik Republic (RP) itu bersama 33 pelajar Singapura yang lain bakal mewakili negara di pertandingan uji kemahiran, Pertandingan WorldSkills (WSC) 2026, yang akan berlangsung di Shanghai, China, dari 22 hingga 27 September.
Mereka bakal bertanding dalam 31 bidang kemahiran di pertandingan antarabangsa tersebut.
Bahkan, Encik Arfan Amirun, 21 tahun, akan menjadi rakyat Singapura pertama yang bertanding dalam bidang kemahiran Teknologi Kenderaan Rel, salah satu bidang kemahiran yang diperkenalkan buat kali pertama di pertandingan tersebut.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) semasa satu majlis khusus bagi meraikan wakil Singapura ke pertandingan tersebut di Politeknik Temasek (TP) pada 4 September, pelajar Tahun 3 Diploma dalam Sistem Kejuruteraan dan Pengurusan itu berkata beliau telah menjalani latihan selama berbulan-bulan sejak menjuarai peringkat nasional WorldSkills Singapura pada April 2025.
Ini termasuk tiga lawatan latihan selama lima hari ke China sejak Oktober 2025, dengan lawatan keempat dijadualkan pada 6 September.
“Bagi saya, latihan pertama itu lebih kepada pengenalan kerana saya tidak pernah melihat peralatan tersebut sebelum ini dan tidak tahu dengan tepat apa yang perlu saya lakukan. Jadi, ketika ke sana, saya cuba mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat dan memahami apa yang perlu saya lakukan.
“Peserta lain sudah datang lebih awal pada tahun itu, jadi mereka sudah lebih biasa dengan latihan tersebut dan sudah mengenali satu sama lain. Saya pula perlu ‘mengejar’ mereka,” kata beliau, yang kini sedang menjalani latihan amali bersama SBS Transit.
Melalui latihan tersebut, beliau didedahkan kepada empat modul utama iaitu pantograf, sistem pintu, roda bogi – struktur di bawah kereta api yang menyokong dan membantu kereta api bergerak dengan lancar di atas rel – dan penyelesaian masalah elektrik.
Ini di samping mempelajari peralatan dan proses yang digunakan dalam penyelenggaraan kereta api.
Semasa majlis tersebut, Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, menyifatkan WSC sebagai satu wadah yang meraikan penguasaan kemahiran yang dicapai pelajar hasil komitmen terhadap pembelajaran dan kecemerlangan.
Menyentuh tentang komitmen tersebut, beliau menekankan bahawa penguasaan kemahiran “lebih penting daripada sebelumnya” sambil teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi semakin mengubah industri serta dunia pekerjaan.
“Apa yang dibangunkan oleh para peserta WorldSkills bukan sekadar kemahiran teknikal; mereka mempunyai ketepatan, keupayaan menyelesaikan masalah, kebolehsuaian serta keupayaan untuk bekerja di bawah tekanan.
“Semua ini merupakan kemahiran dan sifat yang tidak dapat ditiru sepenuhnya oleh teknologi, dan akan sentiasa diperlukan,” ujar beliau.
Menerangkan lebih lanjut tentang latihan di China dan Singapura, antara perbezaan yang perlu dibiasakan Encik Arfan Amirun adalah peralatan yang digunakan dalam sistem kereta api di China.
Sebagai contoh, pantograf yang digunakan di China jauh lebih besar berbanding yang digunakan di Singapura.
Cara komponen itu dipegang dan diselenggara juga berbeza, malah saiz nat dan bolt yang digunakan tidak sama, menurutnya.
“Fungsi dan konsepnya sama, tetapi cara ia dilaksanakan sangat berbeza daripada apa yang kami lakukan di Singapura. Kereta apinya serupa, tetapi perbezaannya cukup ketara sehingga pada awalnya saya sukar melakukan kerja penyelenggaraan.
“Satu-satunya cara bagi saya untuk mengatasi perkara seperti ini adalah dengan terus berlatih. Jadi, setiap Isnin apabila saya kembali ke sekolah, saya berlatih menggunakan sistem simulasi itu dan cuba membiasakan diri dengannya,” jelasnya, anak bongsu tiga beradik.
Menjelang WSC 2026, Encik Arfan tidak menafikan bahawa beliau turut berasa gementar, selain merasakan tekanan untuk mengelakkan kesilapan besar ketika bertanding, khususnya berkaitan aspek keselamatan.
Namun, rasa gementar itu turut disaluti keterujaannya untuk berada di pentas antarabangsa buat kali pertama.
“Saya memang gementar, tetapi saya juga sangat teruja. Sejak diberitahu bahawa saya akan menyertai pertandingan ini, saya sudah teruja dan tidak sabar menantikannya.
“Saya juga mahu melihat kedudukan saya berbanding peserta lain, termasuk peserta dari China, dan sejauh mana kemahiran saya,” katanya.
