Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendaftaran Darjah 1: Tempat ditambah bagi Fasa 2C mulai 2027
Langkah dikecualikan bagi sekolah yang ambil kurang 180 murid Darjah 1
Pendaftaran Darjah 1: Tempat ditambah bagi Fasa 2C mulai 2027
Lebih banyak tempat di peringkat Darjah 1 akan diperuntukkan bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai hubung kait dengan sesebuah sekolah, sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan akses ke sekolah-sekolah.
Mulai sesi pendaftaran pada 2027, sebanyak 60 tempat akan dikhaskan untuk kumpulan kanak-kanak ini di bawah Fasa 2C, berbanding 40 tempat pada masa ini.
Bagaimanapun, langkah itu dikecualikan bagi sekolah yang mengambil kurang 180 murid Darjah 1.
Berdasarkan data pendaftaran bagi 2026, sebanyak 27 daripada 179 buah sekolah rendah tergolong dalam kategori bersaiz ini.
Sebanyak 12 buah sekolah di kawasan seperti Bukit Timah, Newton dan Marine Parade – yang mempunyai kadar perumahan awam yang lebih rendah – juga akan memperuntukkan tempat di bawah Fasa 2C bagi kanak-kanak yang tinggal melebihi jarak 2 kilometer, demi memastikan akses kepada kelompok pemohon yang lebih pelbagai.
Fasa ini dikhaskan bagi pemohon yang tidak layak dalam peringkat kemasukan awal – iaitu fasa yang mengutamakan anak alumni dan mereka yang mempunyai hubungan dengan sekolah berkenaan.
Berkongsi dengan pihak media di Bangunan Parlimen pada 10 September, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata:
“Kami telah berbincang dengan ibu bapa, pemimpin sekolah dan persatuan alumni.
“Kami juga telah mengadakan perbincangan lebih luas, dan terdapat persetujuan luas bahawa sekolah rendah kita harus kekal terbuka dan mudah diakses oleh keluarga daripada pelbagai latar belakang.”
Encik Lee menambah bahawa jumlah tempat Fasa 2C sebelum ini dinaikkan daripada 20 kepada 40 pada 2022, selepas 20 tempat diperuntukkan bagi fasa itu pada 2014.
Tambahan 20 tempat itu bukan bermakna sekolah rendah akan menerima 20 murid tambahan.
Sebaliknya, tempat tersebut akan diperuntukkan semula daripada fasa pendaftaran terdahulu, ujar Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 10 September.
Kanak-kanak yang layak mendaftar di bawah Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B tidak terjejas oleh perubahan ini dan akan terus diberi keutamaan kemasukan sebelum pemohon Fasa 2C dipertimbangkan.
“Bagi sebuah sekolah rendah biasa dengan sekitar 240 tempat, kira-kira satu daripada setiap empat tempat akan terbuka kepada kanak-kanak, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai kaitan terdahulu dengan sekolah tersebut.
“Ini mengekalkan kadar tersebut pada tahap yang secara amnya serupa, iaitu sekitar satu daripada empat tempat. Langkah ini akan meluaskan akses terbuka di sekolah-sekolah rendah kita,” jelas Encik Lee.
Sekolah yang lebih kecil, dengan kurang daripada 180 tempat, pula akan terus memperuntukkan 40 tempat bagi pemohon Fasa 2C.
Menurut Encik Lee, beberapa idea turut dipertimbangkan dalam semakan rangka kerja pendaftaran Darjah 1 itu.
Ia termasuk menambah jumlah tempat yang diperuntukkan kepada keluarga tanpa hubung kait dengan sekolah, mengurangkan kepentingan jarak rumah ke sekolah atau menghapuskan keutamaan berdasarkan jarak sama sekali, selain merombak sistem pendaftaran secara lebih menyeluruh.
