Selepas berbulan-bulan lamanya membimbing seorang murid darjah satu cara memegang pensel dan membentuk huruf satu persatu, guru sekolah rendah, Cik Hafizah Mahmud, akhirnya menyaksikan sesuatu yang amat dinanti-nantikannya.

Murid tersebut akhirnya berjaya menulis namanya sendiri dengan jelas - pencapaian kecil bagi kebanyakan murid sebaya, tetapi yang diiringi makna lebih besar bagi murid itu yang memasuki Darjah 1 tanpa pendidikan prasekolah.

Menurut Cik Hafizah, wajah ceria murid itu, terutama apabila rakan-rakan sekelasnya secara spontan memuji tulisannya, sesuatu yang memberinya dorongan untuk terus berusaha membimbing murid-murid yang memerlukan sokongan tambahan.

Malah, pengalaman itu mencerminkan prinsip yang menjadi pegangan Cik Hafizah sepanjang 20 tahun bergelar pendidik, iaitu setiap murid mampu belajar dan berkembang apabila diberi ruang belajar yang positif, meskipun masing-masing bermula dari tahap yang berbeza.

“Setiap murid, walaupun mereka sangat lemah, pasti ada sesuatu yang boleh kita puji. Pasti adanya sesuatu yang pernah dicapai mereka.

“Makna kejayaan berbeza bagi setiap murid. Bagi murid ini, selepas enam bulan, kejayaannya adalah untuk mengeja dan menulis namanya sendiri. Murid lain mungkin sudah boleh menulis satu karangan... tetapi setiap kanak-kanak berbeza,” katanya lagi.

Sebagai Guru Kanan bagi Keperluan Pembelajaran dan Pelajar Darjah Rendah di Sekolah Rendah Si Ling, Cik Hafizah berkata beliau memberi tumpuan kepada usaha membantu murid menyesuaikan diri dengan alam persekolahan rasmi, termasuk mereka yang memerlukan bimbingan tambahan.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Hafizah berkata beliau percaya peranan guru perlu melangkaui penyampaian ilmu.

“Tugas saya sebagai seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah memahami siapa murid kita, apa yang mereka perlukan dan bagaimana kita boleh membantu mereka mengalami kejayaan dalam pembelajaran,” katanya.

Sikap positif dan komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Cik Hafizah itu antara faktor yang menentukan sumbangannya kepada bidang perguruan setempat diiktiraf di Anugerah Presiden bagi Guru pada 3 September.

Cik Hafizah antara lapan pendidik yang menerima anugerah masing-masing daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam majlis khas di Hotel Fairmont.

Mereka dipilih daripada lebih 5,000 pendidik mewakili 315 sekolah dan institusi pendidikan posmenengah yang dinamakan sebagai calon oleh pemimpin sekolah, rakan sekerja, ibu bapa serta murid dan bekas murid.

Penerima anugerah berpeluang menyertai program pembelajaran di luar negara dan menyusuli itu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang diraih bersama guru serta pekerja pendidikan lain.

Para finalis yang tidak menang, iaitu 10 orang, akan menerima geran untuk menghadiri persidangan, seminar atau kursus di dalam dan luar negara.

Selain Cik Hafizah, seorang lagi pendidik Melayu, pensyarah Politeknik Ngee Ann, Cik Mis’Rohaiza Amin, turut meraih anugerah tersebut.

Menurut Cik Hafizah, melebihi pencapaian peribadi, anugerah tersebut mengiktiraf usaha guru darjah rendah dalam membina asas pendidikan seseorang kanak-kanak.

“Saya rasa saya mewakili guru darjah rendah, yang sumbangan mereka kadangkala kurang diberi perhatian.

“Apabila murid melangkah ke sekolah menengah, mungkin mudah untuk kita terlupa bahawa guru Darjah 1 dan 2 yang membimbing mereka menguasai kemahiran paling asas - daripada memegang pensel dan pembaris hingga menyusun barang di dalam beg.

“Justeru, (saya anggap) anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah penghargaan terhadap usaha guru darjah rendah dalam membina asas pembelajaran murid sejak awal persekolahan,” katanya.

Laluan bagi Cik Hafizah menceburi bidang pendidikan berlaku secara tidak sengaja bagi beliau.

Lulusan jurusan pemasaran di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu pada mulanya memburu kerjaya dalam dunia korporat dan pendidikan, tetapi berubah fikiran selepas inspirasi untuk mengajar dicetus oleh seorang pensyarah yang menurutnya ‘menghidupkan teori’ dalam buku teks dengan mengaitkannya dengan kehidupan sebenar.

“Saya mahu menjadi seperti pensyarah saya, yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk berfikir melangkaui apa yang dibaca dalam buku teks dan melihat kaitannya dengan dunia sebenar,” katanya.

Setelah lebih dua dekad berkecimpung sebagai pendidik, Cik Hafizah berkata beliau lebih menumpukan perhatian pada cara murid belajar, bukan sekadar apa yang perlu diajar.

Ini termasuk mengajar murid cara-cara meminta bantuan, mengenal pasti perasaan serta meluahkan kekecewaan dengan lebih baik apabila berdepan kesukaran.

Cik Hafizah juga percaya kemajuan tidak semestinya berlaku dengan pantas atau secara besar-besaran dan ibu bapa dan guru tidak perlu patah semangat apabila murid-murid tidak menunjukkan kemajuan secara serta-merta.

“Raikan juga kejayaan kecil mereka,” katanya.

“Ada kalanya, murid seolah-olah berundur dua langkah pada hari selanjutnya selepas mara selangkah. Namun, setiap langkah itu sebenarnya membawa mereka lebih dekat kepada matlamat mereka.”