Selepas berbulan membimbing seorang murid Darjah 1 cara memegang pensel dan membentuk huruf satu per satu, guru sekolah rendah, Cik Hafizah Mahmud, akhirnya menyaksikan sesuatu yang amat dinanti-nantikannya.

Murid tersebut akhirnya berjaya menulis namanya sendiri dengan jelas – pencapaian kecil bagi kebanyakan murid sebaya, tetapi yang diiringi makna lebih besar bagi murid itu yang memasuki Darjah 1 tanpa pendidikan prasekolah.

Menurut Cik Hafizah, melihat wajah ceria murid itu – terutama apabila tulisannya itu dipuji rakan sekelas secara spontan – menjadi pendorong utama untuk beliau terus membimbing golongan yang memerlukan sokongan tambahan.

Malah, pengalaman itu mencerminkan prinsip yang menjadi pegangan Cik Hafizah sepanjang 20 tahun bergelar pendidik, iaitu setiap murid mampu belajar dan berkembang apabila diberi ruang belajar positif, meskipun masing-masing bermula dari tahap berbeza.

“Setiap murid, walaupun mereka sangat lemah, pasti ada sesuatu yang boleh kita puji. Pasti ada sesuatu yang pernah mereka capai.

“Makna kejayaan berbeza bagi setiap murid. Bagi murid ini, selepas enam bulan, kejayaannya ialah mengeja dan menulis namanya sendiri.

“Murid lain mungkin sudah boleh menulis satu karangan... tetapi setiap kanak-kanak itu berbeza,” ujarnya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.

Sebagai Guru Kanan (Keperluan Pembelajaran – Murid Rendah Bawahan) di Sekolah Rendah Si Ling, Cik Hafizah berkata beliau memberi tumpuan kepada usaha membantu murid menyesuaikan diri dengan alam persekolahan rasmi, termasuk mereka yang memerlukan bimbingan tambahan.

Dalam wawancara dengan Berita Harian (BH), Cik Hafizah berkata beliau percaya peranan guru perlu melangkaui sekadar penyampaian ilmu.

“Tugas saya sebagai guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah memahami siapakah murid kita, apakah yang mereka perlukan dan bagaimanakah kita boleh membantu mereka mengecap kejayaan dalam pembelajaran,” katanya.

Sikap positif dan komitmen jitu Cik Hafizah dalam bidang perguruan setempat menjadi antara faktor yang melayakkan beliau diiktiraf sebagai antara penerima Anugerah Presiden bagi Guru pada 3 September.

Cik Hafizah merupakan antara lapan pendidik yang menerima anugerah masing-masing daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam majlis khas di hotel Fairmont Singapore.

Seorang lagi pendidik Melayu, pensyarah Politeknik Ngee Ann, Cik Mis’Rohaiza Amin, turut meraih anugerah tersebut.

Mereka dipilih daripada lebih 5,000 pendidik mewakili 315 sekolah dan institusi pendidikan posmenengah yang dinamakan sebagai calon oleh pemimpin sekolah, rakan sekerja, ibu bapa serta murid dan bekas murid.

Penerima anugerah berpeluang menyertai program pembelajaran di luar negara dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang diraih bersama guru serta pekerja pendidikan lain.

Sementara itu, 10 finalis lain turut menerima geran bagi mengikuti persidangan, seminar atau kursus di dalam dan luar negara.

Menurut Cik Hafizah, melebihi pencapaian peribadi, anugerah yang beliau terima mengiktiraf usaha guru dalam membina asas pendidikan seseorang kanak-kanak.

“Saya rasa saya mewakili guru darjah rendah, yang sumbangan mereka kadangkala kurang diberi perhatian.

“Apabila murid melangkah ke sekolah menengah, mungkin mudah untuk kita terlupa bahawa guru Darjah 1 dan 2 yang membimbing mereka menguasai kemahiran paling asas – daripada memegang pensel dan pembaris hingga menyusun barang di dalam beg.

“Justeru, (saya anggap) anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah penghargaan terhadap usaha guru darjah rendah dalam membina asas pembelajaran murid sejak awal persekolahan,” katanya.

Laluan bagi Cik Hafizah menceburi bidang pendidikan berlaku secara tidak sengaja bagi beliau.

Lulusan jurusan pemasaran di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu pada mulanya memburu kerjaya dalam dunia korporat dan pendidikan.

Beliau bagaimanapun berubah fikiran selepas seorang pensyarah mencetuskan inspirasi untuk mengajar dengan ‘menghidupkan teori’ buku teks melalui perkaitan kehidupan sebenar.

“Saya mahu menjadi seperti pensyarah saya, yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk berfikir melangkaui apa yang dibaca dalam buku teks dan melihat kaitannya dengan dunia sebenar,” kata beliau.

Setelah lebih dua dekad berkecimpung sebagai pendidik, Cik Hafizah berkata beliau lebih menumpukan perhatian pada cara murid belajar, bukan sekadar apa yang perlu diajar.

Ini termasuk mengajar murid cara meminta bantuan, mengenal pasti perasaan serta meluahkan kekecewaan dengan lebih baik apabila berdepan kesukaran.

Cik Hafizah juga percaya kemajuan tidak semestinya berlaku dengan pantas atau secara besar-besaran dan ibu bapa dan guru tidak perlu patah semangat apabila murid tidak menunjukkan kemajuan serta-merta.

“Raikan juga kejayaan kecil mereka,” katanya.

“Ada kalanya, murid seolah-olah berundur dua langkah pada hari selanjutnya selepas mara selangkah.

“Namun, setiap langkah itu sebenarnya membawa mereka lebih dekat kepada matlamat mereka.”