UJIAN Covid-19 yang wajib mula dijalankan ke atas para penduduk di tujuh blok HDB di Redhill Lane dan Redhill Close semalam.
Ini setelah serpihan koronavirus dikesan dalam sampel air sisa yang dikumpul dari beberapa blok sekitar kawasan itu.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataannya berkata ia sedang menyiasat kemungkinan penularan Covid-19 di Redhill berikutan penemuan tersebut.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sumber penularan, kata MOH lagi.
Ujian tiga hari sehingga esok, akan diwajibkan ke atas penduduk di Blok 81, 82 dan 83 Redhill Lane serta Blok 87, 88, 89 dan 90 Redhill Close.
Ujian tersebut tidak wajib bagi mereka yang diuji negatif Covid-19 dari 18 Jun.
"Sekiranya kes positif Covid-19 dikesan, MOH akan mengasingkan kes itu, mengenal pasti kontak rapatnya, menjalankan ujian serta meletak mereka di bawah kuarantin bagi melindungi masyarakat daripada penularan," kata kementerian itu.
Sementara itu, ujian secara sukarela juga akan dijalankan bagi pelawat ke blok-blok tersebut serta mereka yang berinteraksi dengan penduduk di sana antara 6 hingga 20 Jun.
Ini akan membantu mengesan kes asimtomatik dalam masyarakat, menurut MOH lagi.
"Kami menggalak individu-individu ini untuk tampil menjalani ujian," tambahnya.
Ujian ini dilakukan di pavilion di Blok 84A Redhill Lane dan di kolong Blok 89 Redhill Close.
Penduduk perlu membawa kad pengenalan untuk tujuan pengenalan diri.
MOH berkata mereka telah mengagihkan risalah serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada para penduduk dengan maklumat lanjut.
"Mereka yang masih menunggu keputusan ujian mereka dinasihatkan untuk mengurangkan interaksi sosial sebanyak mungkin.
"Mereka perlu memantau kesihatan mereka dengan teliti dan segera berjumpa doktor jika berasa tidak sihat," kata MOH lagi.
Seorang penduduk, Cik Mastura Rus, berkata beliau menerima pesanan tersebut sekitar 8.30 pagi semalam.
Namun beliau hanya sedar bahawa seluruh penduduk flat harus menjalani ujian Covid-19 itu setelah seorang jiran memberitahu beliau.
Cik Mastura yang menetap di Blok 81 bersama suami dan anak perempuannya telah mengambil ujian tersebut sekitar 3 petang.
Meskipun risau dengan perkembangan terkini di sekitar kawasan kejiranannya, suri rumah berusia 53 tahun itu berkata beliau akan terus mengambil langkah berjaga-jaga.
"Memang sejak beberapa minggu, kami sekeluarga mengambil sikap berwaspada, lebih-lebih lagi dengan kelompok jangkitan Covid-19 di pasar dan pusat makanan Bukit Merah View yang semakin meningkat.
"Saya juga sekitar dua minggu lalu mengambil ujian swab kerana disyaki menjadi kontak rapat kelompok tersebut.
"Setiap hari saya akan memantau keadaan kesihatan saya dengan mengambil suhu badan dan memastikan saya tidak ada simptom lain seperti selesema," ujar beliau.
Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan Radin Mas, Encik Melvin Yong, berkata ujian wajib itu adalah "langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan" penduduk terjejas.
Mereka akan diberitahu melalui SMS mengenai slot waktu untuk ujian swab, dan akan diserahkan ke salah satu daripada dua pusat ujian sementara, tambah Encik Yong dalam catatan Facebook semalam.
"Bagi penduduk yang tinggal di blok yang berada di sekitarnya, anda tidak perlu diuji ketika ini kecuali anda telah mengunjungi seseorang di blok yang terjejas ini, antara 6 dan 20 Jun," tambah beliau.
Beliau menggesa penduduk untuk terus duduk di rumah, memakai pelitup ketika keluar dan segera berjumpa doktor sekiranya mereka rasa kurang sihat.
Kelmarin, kelompok jangkitan Covid-19 di pasar dan pusat makanan Bukit Merah View bertambah hingga 73 kes, satu peningkatan daripada 70 kes yang dilaporkan pada Sabtu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg